Bayi 4 bulan ditemukan maut semasa dijaga pengasuh

Bayi 4 bulan ditemukan maut semasa dijaga pengasuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang bayi lelaki berusia empat bulan ditemukan maut semasa dijaga pengasuhnya dalam kejadian di Kondominium Axis Crown, Taman Cempaka, Jalan Cempaka dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu, satu laporan dibuat Pegawai Perubatan Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Ampang dekat sini mengenai bayi berkenaan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, bayi itu dibawa dari salah satu Klinik di Pandan Indah menaiki sebuah ambulans.

Kata beliau, semasa tiba di hospital berkenaan, bayi berkenaan sudah tidak bernyawa.

“Bantuan kecemasan diberikan tetapi bayi itu menunjukkan tanda-tanda kematian yang sudah lama dan disebabkan itu dia tidak dapat diselamatkan.

“Bayi itu bagaimanapun disahkan meninggal dunia pada pukul 6.35 petang dan punca kematian masih dalam siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Farouk berkata, bertindak atas maklumat, satu tangkapan telah dilakukan terhadap seorang wanita warga Indonesia kira-kira pukul 10.30 malam hari sama.

Kata beliau, wanita berusia 26 tahun itu adalah pengasuh bayi berkenaan disyaki terlibat di dalam kejadian tersebut.

“Semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod lampau kesalahan jenayah dan dadah serta menjaga bayi berkenaan sejak Jun lalu.

“Keterangan awal suspek memaklumkan bayi berkenaan dalam keadaan sesak nafas kerana kain lampin dalam buai berada di mukanya,” jelasnya.

Tambah Mohamad Farouk, ketika kejadian ibu bapa bayi berkenaan yang juga warga tempatan sedang bekerja dan bayi itu dihantar ke rumah suspek untuk dijaga.

“Proses bedah siasat dilakukan pagi ini bagi mengetahui punca kematian.

“Suspek dibawa ke Mahkamah Ampang bagi reman mendapatkan perintah tahanan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah,” katanya.

Mohamad Farouk berkata, kes berkenaan disiasat bawah Seksyen 31(1)(a) Akta kanak-kanak 2001 yang merujuk kepada penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya