KUALA NERUS: Keunikan batik Terengganu yang diinovasikan dengan lebih moden dalam bentuk batik kit dan wau batik kit yang dikeluarkan oleh pusat interaktif seni warisan, Lambo Sari di sini mendapat permintaan tinggi di Singapura.
Pengurus Lambo Sari, Sarinah Said berkata, sebanyak 30,000 batik kit telah dijual di Singapura dengan segmen pasaran utama pelajar sekolah rendah dan menengah sejak 2019.
Menurutnya, inovasi batik kit itu bertujuan memperkenalkan warisan seni Terengganu kepada orang luar dengan lebih mudah, murah dan interaktif.
Katanya, selepas itu, pihaknya mengeluarkan satu lagi produk baharu iaitu wau batik kit dengan sasaran 1,000 unit setiap bulan untuk pasaran di Singapura.
“Wakil pengedar Singapura juga dalam proses memasarkannya ke Taiwan dan Jepun agar lebih ramai yang mengenali seni warisan Terengganu ini melalui dua produk tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Lambo Sari yang diwujudkan pada tahun 2019 merupakan sebuah pusat rujukan dan jualan sehenti semua produk kraftangan, budaya dan seni warisan Terengganu iaitu batik, songket, wau, anyaman, makanan dan kuih tradisional serta silat.
Bernaung di bawah Homestay Teluk Ketapang, Lambo Sari turut tersenarai sebagai satu tempat persinggahan wajib oleh pelancong dalam buku direktori Beautiful Terengganu untuk mengenali budaya rakyat tempatan dengan lebih dekat.
Sementara itu, Sarinah memberitahu, batik kit yang bersaiz 25 sentimeter (cm) x 25 cm dicanting dengan motif bertemakan hidupan laut seperti penyu dan karangan laut yang mewakili pulau-pulau di Terengganu.
Tambahnya, antara jenis wau batik kit bersaiz 38 cm x 38 cm itu pula ialah wau bulan, wau burung, wau merak, wau kucing dan wau jala budi serta dicanting dengan motif bunga sobek bagi meninggikan nilai kesenian wau batik.
“Batik kit itu dijual pada harga RM25 sekeping manakala wau batik kit pula dijual RM40 seunit,” ujarnya.
Sarinah yang bergiat aktif dalam bidang seni warisan sejak 15 tahun lalu berkata, kewujudan Lambo Sari juga dapat meningkatkan taraf sosio ekonomi lebih 20 penggiat seni di sekitar Terengganu seperti pencanting batik, pembuat wau, pesilat dan individu yang mahir dalam bidang anyaman. – UTUSAN










