PETALING JAYA: Menteri Kewangan semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH), Lim Guan Eng menyifatkan langkah mengurangkan beberapa bilion ringgit untuk projek mega semasa pentadbirannya sebagai pencapaian besar gabungan parti itu selepas mengambil alih Kerajaan Persekutuan pada 2018.
Beliau memberi contoh projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang asalnya memakan kos RM65.5 bilion dikurangkan kepada RM44 bilion, menyaksikan penjimatan sebanyak RM21.5 bilion.
Katanya, ia sekali gus menjadi kebanggaan kerajaan kerana dapat mengurangkan kos-kos tidak wajar yang sepatutnya boleh digunakan untuk pembangunan infrastruktur lain.
Justeru, Pengerusi Kebangsaan DAP itu menafikan dakwaan ada projek besar tertentu dibatal atau ditangguhkan semasa PH mentadbir sehingga menjejaskan usaha pembangunan negara.
“Kerajaan tidak membatal atau melengah-lengahkan projek ini. Yang dilakukan adalah berunding semula untuk mengurangkan kosnya yang terlalu tinggi.
“Kalau kita boleh kurangkan sehingga lebih RM20 bilion, bukankah ini satu pencapaian besar,” katanya ketika dihubungi semalam.
Guan Eng turut menegaskan Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura tidak dibatalkan PH, sebaliknya, bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bertanggungjawab terhadap pembatalan itu sejak membentuk gabungan baharu, Perikatan Nasional (PN)-Barisan Nasional (BN).
Untuk rekod, perjanjian projek HSR berakhir pada 31 Disember 2020 setelah Muhyiddin dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong memutuskan pembatalan HSR sepanjang 350 kilometer selepas ditangguhkan PH sejak September 2018.
“Semua sudah maklum, PH hanya memutus menangguhkan projek HSR dan bukan membatalkannya kerana kos terlalu tinggi selain ekonomi negara tidak mampu ketika itu,” katanya.
Semalam, akhbar ini melaporkan, Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Dr. Jeniri Amir berkata, banyak projek besar dibatal atau ditangguhkan oleh PH sehingga menjejaskan usaha pembangunan negara termasuk melengahkan projek ECRL sepanjang 665 kilometer.
Katanya, PH memiliki manifesto paling tebal dalam sejarah pilihan raya umum (PRU) di Malaysia dan meliputi pelbagai perkara, namun, yang dijanjikan tidak semua ditunaikan.
Kata Guan Eng, keadaan itu tidak akan berlaku jika tiada gerakan mengambil alih tampuk pimpinan kerajaan daripada PH bermula dengan Langkah Sheraton pada Februari 2020.
Guan Eng antara lain tidak memberi kepastian berkenaan tiga jambatan di Batang Igan, Batang Lupar dan Batang Rambungan, Sarawak yang didakwa dibatalkan, namun katanya, setiap penjimatan disalurkan semula ke negeri berkenaan.
“Kita juga kurangkan kadar tol sebanyak 18 peratus di semua lebuh raya milik PLUS Malaysia Berhad (PLUS) secara berperingkat bagi mencapai matlamat akhir menghapuskan tol, walaupun mengambil masa bergantung dengan ekonomi negara. Namun, tidak sempat sebab PH tumbang oleh PN,” katanya. – UTUSAN










