Bapa pukul, pijak anak perempuan enggan pinjam duit saudara

Bapa pukul, pijak anak perempuan kerana enggan pinjam duit saudara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Gara-gara enggan mengikut arahan supaya meminjan wang daripada saudara, seorang remaja berusia 16 tahun dipijak bapanya di Pangsapuri Sagaria, Taman Saga, dekat sini, semalam.

Tindakan lelaki berusia 50 tahun itu bagaimanapun mengundang padah apabila dia ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ampang Jaya di tepi Jalan Saga 6A, Taman Saga kira-kira pukul 4 pagi ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, sebelum kejadian, berlaku pertengkaran antara suspek dan isterinya.

“Suspek menyuruh ibu mangsa meminta duit dari ahli keluarga lain namun dia enggan menyebabkan suspek marah dan menarik rambut isterinya.

“Kemudiannya, suspek meminta mangsa menemani ibunya namun mangsa enggan menemani ibunya ke rumah ahli keluarga lain untuk meminta wang menyebabkan suspek berang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohamad Farouk berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 7.55 malam itu, suspek turut mengeluarkan kata-kata kesat terhadap mangsa dan bertindak memukul, menampar serta memijak kepala anaknya itu.

“Semakan mendapati suspek tersebut mempunyai tiga rekod lampau membabitkan kesalahan jenayah dan narkotik.

“Mangsa dibawa ke Hospital Ampang untuk menerima rawatan manakala suspek dibawa ke Mahkamah Ampang pagi ini bagi permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah,” jelasnya.

Tambah Mohamad Farouk, kes disiasat bawah Seksyen 323 Kanun keseksaan dan Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 yang merujuk kepada sengaja menyebabkan kecederaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN