Banyak projek besar batal zaman PH

Banyak projek besar batal zaman PH

Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sepanjang 665 kilometer antara yang dihentikan semasa zaman pemerintahan PH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Banyak projek besar dibatal atau ditangguhkan di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) sehingga menjejaskan usaha membangunkan negara.

Projek itu termasuk pembinaan tiga jambatan di Rambungan, Igan dan Batang Lupar di Sarawak berjumlah RM900 juta yang dibatalkan pada awal 2019 selain infrastruktur lain seperti sekolah dan jalan raya.

Malah, PH turut melengahkan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sepanjang 665 kilometer di samping membatalkan Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura dan didakwa membekukan projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Memuatkan artikel berkaitan…

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Dr. Jeniri Amir berkata, kegagalan melaksanakan projek-projek pembangunan itu sekali gus membuktikan PH sebagai kerajaan yang tidak prihatin terhadap rakyat.

“PH memiliki manifesto paling tebal dalam sejarah pilihan raya umum (PRU) di Malaysia dan meliputi pelbagai perkara, malangnya apa yang dijanjikan itu semua tidak ditunaikan.

“Ia termasuk projek-projek mega di Sabah dan Sarawak seperti jambatan dan sekolah hinga menimbulkan kekecewaan rakyat,” katanya di sini, semalam.

Perkara itu diakui oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang mengesahkan PH banyak membatalkan projek yang telah diluluskan oleh Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri di Sarawak sepanjang 22 bulan mentadbir negara.

Antaranya, menurut beliau adalah jambatan, jalan coastal highway dan beberapa sekolah daif kerana dikatakan tidak cukup dana.

“Jadi, saya kata ini adalah persetujuan kita dengan Kerajaan Pusat yang telah dilulus hendaklah dilaksanakan. Tetapi menteri kewangan ketika itu mengatakan Sarawak masih berhutang dengan Kerajaan Pusat.

“Tapi hutang kita itu state debt yang ada scheduled loan yang banyak. Dia kata bayar dulu, jadi saya bayar RM1 bilion tidak mengikut scheduled loan, jadi, saya advanced payment lah. Tetapi itu pun lambat dilaksanakan…sekolah daif, kerana sekolah itu penting, untuk anak kampung kan,” katanya dalam wawancara dengan Mingguan Malaysia selaku Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), sebelum pengundian pilihan raya negeri Sarawak, hujung tahun lalu.

Kelmarin, Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan mendakwa kerajaan PH turut mempunyai ‘saham’ dalam kepincangan projek LCS milik TLDM.

Katanya, PH yang membekukan projek itu pada 2019 sehingga menyebabkan kapal pertama semakin lewat untuk disiapkan, malah Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu ketika itu ada memaklumkan gagal menyiapkan reka bentuk LCS.

Pada 4 Ogos lalu, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menyenaraikan sembilan rumusan sebagai punca kepincangan projek pembinaan LCS milik TLDM bernilai yang bernilai RM9 bilion.

Jeniri mendakwa, selain projek pembangunan, PH melanggar janji PRU untuk membayar 20 peratus royalti minyak dan gas kepada Sarawak dan Sabah.

Sementara itu, Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Azmi Hassan berkata, PH bukan sahaja gagal mentadbir negara dengan baik dan efisien dari segi ekonomi, bahkan geopolitik dan pertahanan.

Katanya, keadaan itu berpunca akibat rasa tidak percaya kalangan menteri dan timbalan menteri PH terhadap penjawat awam yang pakar dalam setiap kementerian, sebaliknya mereka lebih yakin

terhadap pegawai khas serta penasihat yang merupakan lantikan politik.

“Antara ECRL, HSR dan LCS, impak paling besar akibat kesan penangguhan projek berkenaan pada saya adalah LCS kerana menjejaskan sistem pertahanan negara.

“Inilah bukti kesilapan dan kecacatan PH selain isu-isu lain termasuk Isu ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini