Anwar timbang bertanding di Perak PRU15

Anwar timbang bertanding di Perak PRU15

ANWAR Ibrahim dan Chang Lih Kang (kanan) dalam sidang akhbar di Pejabat PKR Perak, Ipoh hari ini. - FOTO/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedia menimbangkan tawaran yang dibuat oleh PKR Perak untuk beliau bertanding di negeri ini pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurutnya, beliau juga sedia menimbangkan untuk bertanding di Parlimen Tambun seperti yang ditawarkan.

“Awak (wartawan) sendiri fikir macam mana, boleh kah? Kalau awak kata boleh, saya akan fikirkan. Ia satu cadangan yang sedang saya pertimbangkan. 

“(Parlimen Tambun), itu antara Cabang yang diusulkan, namun belum keputusan muktamad.

“Sekarang kita nak tentukan kerusi, nak tentukan jentera dan kawan-kawan di (Parlimen) Port Dickson pun merayu saya kekal di sana, jadi saya kena fikir,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan perjumpaan dengan  semua 24 Ketua Cabang PKR Perak, di sini hari ini.

Sebelum ini, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak ketika menjadi Pengerusi PKR Perak berkata, PKR Perak menawarkan Anwar bertanding di kerusi Parlimen di negeri ini dalam PRU15.

Tawaran itu sebagai langkah untuk mengukuhkan parti itu menawan negeri ini dengan kehadiran nama besar seperti Anwar memudahkan PKR untuk menawan Perak.

Farhash berkata, Anwar sangat responsif dan positif dengan pelawaan itu. 

Sementara itu, Anwar mengumumkan Ahli Parlimen Tanjung Malim, Chang Lih Kang sebagai Pengerusi Majlis Kepimpinan Negeri Perak yang baharu.

Katanya, pemilihan Lih Kang yang juga Naib Presiden PKR dan Ketua Cabang PKR Tanjung Malim diterima sebulat suara.

“Saya telah mencadangkan beliau (Lih Kang) dan diterima sebulat suara,” katanya.

Menurutnya, pelantikan Lih Kang selaras dengan penyesuaian yang dibuat oleh parti iaitu Timbalan Presiden dan Naib-Naib Presiden ditugaskan untuk memimpin jentera pilihan raya  negeri.

“Ini berbeza berbanding dahulu apabila kita ambil kita pandangan daripada Cabang-cabang dan mengangkat salah seorang daripada mereka mengetuai jentera pilihan raya negeri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN