Anggota 'Geng Mamat' curi peralatan ECRL bernilai RM30,000 ditangkap - Utusan Malaysia

Anggota ‘Geng Mamat’ curi peralatan ECRL bernilai RM30,000 ditangkap

NORZAMRI Abd. Rahman (dua kanan) menunjukkan barang rampasan yang dicuri di enam tapak pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah Maran di Maran, Pahang. - UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Polis menahan empat anggota ‘Geng Mamat’ kerana disyaki mencuri pelbagai peralatan pembinaan bernilai RM30,000 di enam tapak pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di sini sejak April tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintenden Norzamri Abd. Rahman berkata, dalam serbuan pertama Jumaat lalu, polis menahan seorang lelaki dan wanita berusia 21 dan 25 tahun di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Sungai Ling di sini yang dipercayai terlibat dengan kegiatan jenayah tersebut.

Beliau berkata, susulan serbuan itu, polis menahan seorang lagi suspek lelaki, 32, yang bekerja sebagai buruh ladang di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Paya Pasir di sini pada pukul 5.30 petang.

“Selepas itu, kita menahan seorang lagi pemuda berusia 19 tahun yang bekerja sebagai pemandu lori di sebuah rumah di Jalan Kampung Pertanian, Pekan Tajau di sini pada pukul 11.30 malam,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Maran di sini hari ini.

Norzamri berkata, modus operandi sindiket terbabit, mencuri peralatan di tapak pembinaan ECRL pada waktu malam yang tidak mempunyai pengawal keselamatan.

“Kita percaya sindiket ini telah mencuri di enam lokasi tapak pembinaan ECRL di daerah ini dengan nilai kerugian peralatan pembinaan dianggarkan RM30,000.

“Selain sebuah kereta Proton Iswara, polis juga merampas selaras senapang angin dan sepasang gari yang disyaki digunakan sindiket itu untuk aktiviti penyamaran atau peras ugut pekerja asing,” katanya.

Beliau berkata, satu peket plastik mengandungi dadah jenis syabu seberat 2.13 gram, dipercayai bagi kegunaan sindiket itu sendiri turut dirampas dalam operasi berkenaan.

“Hasil ujian air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis methamphetamine. Suspek pertama dan ketiga juga mempunyai rekod penyalahgunaan dadah. Kita percaya ada dua lagi suspek yang masih bebas dan polis sedang giat memburu mereka,” katanya.

Katanya, kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan (Curi), Seksyen 379A(1) Kanun Keseksaan, Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 (penalti kerana memiliki senjata dan amunisi tanpa sesuatu lesen atau permit), Seksyen 89 Akta Polis 1967 (memiliki secara haram peralatan-peralatan dibekalkan kepada pegawai polis tanpa kebenaran) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kesemua suspek ditahan reman selama empat hari bermula Sabtu lalu sehingga ke hari ini sebelum disambung reman untuk siasatan lanjut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya