(ANALISIS) Pas Kelantan perlu lebih berani angkat perjuangan muslimat - Utusan Malaysia

(ANALISIS) Pas Kelantan perlu lebih berani angkat perjuangan muslimat

SITI Zailah Mohd. Yusoff
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAMAI yang mungkin tidak mengetahui Muslimat Pas merupakan antara ‘tonggak’ penting yang banyak membantu kemenangan parti itu sehingga berjaya menerajui negeri ini selama 32 tahun.

Peranan itu dapat dilihat apabila mereka aktif bergerak secara ‘underground’ menerusi pelbagai program dalam usaha mendekati wanita bagi memastikan undi dan sokongan terhadap parti tidak ‘dilarikan’ pihak lawan.

Bagaimanapun, sumbangan golongan muslimat seolah-olah dipandang ‘sepi’ oleh pucuk pimpinan parti apabila mereka tidak diberikan peluang dan ruang untuk menjadi pemimpin sebagai tanda ‘balas budi’ di atas sumbangan yang diberikan.

Situasi itu dapat dilihat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu apabila Pas hanya mempertaruhkan tiga sahaja tokoh muslimat untuk diangkat sebagai pemimpin Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen bagi mewakili suara wanita di negeri ini.

Tokoh berkenaan ialah Datuk Mumtaz Mat Nawi (ADUN Demit), Rohani Ibrahim (ADUN Tanjong Mas) dan Datuk Siti Zailah Mohd. Yusof (Ahli Parlimen Rantau Panjang).

Melihat kepada prestasi baik diperagakan oleh ketiga-tiga tokoh itu, Pas Kelantan dilihat perlu lebih berani untuk mengangkat golongan wanita dengan menambah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen.

Hal ini bagi membolehkan golongan berkenaan terus menyuarakan atau membangkitkan isu-isu berkait dengan wanita secara lebih mudah dan jelas mengikut kefahaman mereka.

Pada masa yang sama, golongan ini dilihat boleh memainkan peranan dalam menjadikan tadbir urus di Kelantan bertambah baik kerana Pas mempunyai ramai tokoh muslimat yang berpotensi untuk diangkat sebagai pemimpin.

Situasi itu berbeza dengan UMNO, Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP, Parti Pribumi Malaysia Bersatu (Bersatu) dan lain-lain yang dilihat memberikan ruang lebih ‘besar’ kepada golongan wanita untuk memainkan peranan dalam pentadbiran parti.

Perkara tersebut dapat lihat setiap kali isu melibatkan wanita, mereka ini yang akan bangkit bersuara menerusi mandat yang diberikan oleh parti.

Jangan disangkal, tangan yang menghayun buaian mampu menggoncangkan dunia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN