Anak tiri Najib perlu serah dokumen berkaitan derma Arab Saudi - Utusan Malaysia

Anak tiri Najib perlu serah dokumen berkaitan derma Arab Saudi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Anak tiri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga penerbit filem Wolf of Wall Street, Riza Shahriz Abdul Aziz dan dua syarikat miliknya perlu menyerahkan beberapa dokumen kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berhubung penyalahgunaan wang AS$248 milik syarikat terbabit.

Perintah tersebut dikeluarkan Hakim Amarjeet Singh Serjit Singh selepas membenarkan permohonan 1MDB dan tiga subsidiarinya, 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited dan 1MDB Energy (Langat) Limited.

Tuntutan saman yang difailkan itu adalah sebahagian daripada tindakan undang-undang yang dimulakan oleh 1MDB terhadap sembilan entititi termasuk dua institusi kewangan luar dan 25 individu dalam usaha mendapatkan semula asetnya.

Peguam Datuk Hariharan Tara Singh yang mewakili Riza Shahriz, Red Granite Pictures Incorporated dan Red Granite Capital Limited yang dinamakan sebagai defendan ketika dihubungi berkata penghakiman berhubung perkara itu disampaikan kepada pihak-pihak terlibat menerusi e-mel hari ini.

“Hakim juga memberi masa 30 hari untuk pihak-pihak defendan mematuhi perintah itu. Mahkamah juga menetapkan 12 September ini bagi pengurusan kes selanjutnya,” katanya.

Antara dokumen yang perlu diserahkan kepada 1MDB dan anak-anak syarikatnya ialah segala dokumen atau surat menyurat di antara Riza dan ahli perniagaan, Low Teck Jho atau Jho Low di antara 2008 hingga 2015.

Riza, Red Granite Pictures dan Red Granite Capital juga perlu memberikan butiran terperinci mengenai penerimaan wang berjumlah AS$248,173,104 yang didakwa sebagai pinjaman daripada kerabat diraja Arab Saudi dan diberikan melalui syarikat yang dikenali sebagai Alsen Chance Holdings Limited iaitu sebuah syarikat yang dimiliki secara benefisial oleh keluarga diraja Arab Saudi.

Red Granite Pictures dan Red Granite Capital juga perlu mengemukan dokumen yang memperincikan penggunaan dana tersebut antaranya dalam menghasilkan filem Wolf of Wall Street, perbelanjaan peribadi defendan ketiga (Red Granite Capital) dan pembelian beberapa hartanah di New York, California dan London.

Menurut writ saman yang difailkan pada 7 Mei lalu, plaintif mendakwa kesemua defendan telah menerima kira-kira AS$248 juta dalam dana yang dilesapkan daripada plaintif antara 2011 dan 2012 selain mendakwa mereka menggunakannya untuk kepentingan diri dan sekutu, termasuk bagi tujuan pembiayaan produksi filem dan pembelian pelbagai hartanah.

1MDB mendakwa firma guaman Shearman and Sterling membenarkan Riza serta ‘sekutunya’ iaitu ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho (Jho Low) menggunakan akaun klien di firma itu itu untuk mengubah sejumlah besar dana yang diselewengkan.

Sehubungan itu, plaintif menuntut deklarasi bahawa defendan pertama (Riza) bertanggungjawab atas dana yang dilesapkan dan diterima atas alasan penerimaan berpengetahuan atau secara alternatifnya penolongan tidak jujur.

Writ saman itu juga menyebut, plaintif-plaintif berhak untuk dibayar balik dana yang dilesapkan dan diterima defendan pertama atas alasan menjadi kaya secara tidak adil (unjust enrichment).

Sementara itu menurut penyataan pembelaan Riza dan dua syarikatnya, dia mendakwa memperoleh pinjaman daripada keluarga diraja Arab Saudi atau International Petroleum Investment Company (IPIC ) untuk menerbitkan beberapa filem di Amerika Syarikat dan bukannya daripada dana 1MDB.

IPIC merupakan syarikat yang ditubuhkan di Abu Dhabi yang pada ketika itu Pengarah Urusannya adalah Khadem Abdullah Al-Qubaisi, yang merupakan bekas pembantu Sheikh Mansour Zayed Al Nahyan iaitu Timbalan Perdana Menteri Emiriah Arab Bersatu dan juga ahli keluarga diraja. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya