ALOR SETAR: Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendakwa, kejadian banjir kilat terbaharu di Baling, kelmarin dipercayai berpunca daripada aktiviti pembalakan berdekatan Teluk Sanau yang wujud sejak lebih setahun lalu.
Penasihat Sahabat Alam Sik (SAS), Mohd. Sobri Ramlee berkata, kerajaan negeri dan semua pihak terlibat perlu mengambil langkah drastik termasuk menghentikan aktiviti pembalakan di daerah berkenaan bagi mengelak kejadian lebih buruk berlaku.
“Banjir melibatkan beberapa kampung di sekitar Teluk Sanau iaitu kawasan lain daripada Kampung Iboi yang terlibat dalam kejadian kepala air pada 4 Julai lalu.
“Menerusi maklumat penduduk, aktiviti pembalakan di Teluk Sanau dilakukan sejak lebih setahun lepas. Perkara ini sangat membimbangkan kerana saya percaya banyak lagi kawasan akan meletus seperti di Kampung Iboi akibat aktiviti menarah bukit ini,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Dalam kejadian terbaharu kelmarin, hujan lebat selama beberapa jam mengakibatkan sekurang-kurangnya lima kampung dilanda banjir lumpur termasuk Hospital Baling.
Mohd. Sobri berkata, penduduk mendakwa, walaupun kejadian banjir kilat selalu berlaku di kawasan tersebut, keadaan menjadi semakin buruk setiap hari dan bencana kelmarin adalah yang paling buruk pernah dihadapi mereka setakat ini.
Sementara itu, mengulas tragedi di Kampung Iboi awal bulan lalu, katanya, pihak terlibat termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS) wajar mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung tindakan yang diambil setelah hampir sebulan tragedi itu.
“Kami tahu kerajaan negeri sudah ambil tindakan mengorek dan mendalamkan sungai untuk mengelak banjir tetapi isu sekarang adalah di atas sana iaitu penebusan hutan di Gunung Inas.
“Sehingga kini tak ada lagi kenyataan rasmi daripada pihak terlibat apakah tindakan yang diambil? Di puncak Gunung Inas hari-hari hujan. Lumpur, pasir turun ke dalam sungai serta bertambah. Jika kita korek di bawah macam mana pun tak jadi apa.
“Kita perlukan tindakan drastik, tanam pokok atau tutup dengan kanvas untuk elak lumpur itu turun. Mana-mana bongkah batu yang besar di bawah turun atau buat apa sahaja untuk elak gelongsoran baharu. Bila ada gelongsoran tentu ada banjir lumpur baharu,” jelasnya.
Katanya, keadaan kolam di ladang durian di kawasan berkenaan juga perlu diberi perhatian melihat kepada risikonya yang boleh mencetuskan banjir lumpur ke kawasan berdekatan.
“Setakat ini saya percaya belum ada kenyataan rasmi apa yang dilakukan di kolam itu. Apakah lumpur sudah dikeluarkan kerana kita tahu bahawa limpahan air hujan akan basahkan tanah sekeliling kolam dan struktur tak kuat akan sebabkan kebocoran.
“Kita percaya penduduk Baling sangat diuji ketika ini dengan banjir kilat atau banjir lumpur yang serius akibat semua aktiviti penebusan hutan ini. Pihak berkenaan perlu melakukan sesuatu secara drastik,” katanya. – UTUSAN










