SEREMBAN: Gerakan Tanah Air (GTA) terbuka untuk mengetengahkan aktivis masyarakat bagi mewakili gabungan itu sebagai calon pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kelak.
Ketua Setiausaha GTA, Datuk Marzuki Yahya berkata, selain calon yang datang daripada empat gabungan parti, golongan aktivis dan pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga boleh diberikan ruang dan dipertimbangkan sebagai calon.
“Dalam perbincangan, GTA membuka ruang kepada aktivis atau NGO yang kami lihat mempunyai kebolehan dan kelayakan untuk bersama-sama dengan kami.
“Ramai aktivis yang telah menyatakan sokongan mereka kepada gerakan ini. Kami akan pertimbangkan untuk memberi ruang kepada mereka sebagai calon,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Bicara Perjuangan Di Mana Melayu dan Islam Selepas PRU15 di Pedas di sini semalam.

Marzuki yang juga Timbalan Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mendedahkan, antara individu yang telah menyatakan sokongan itu termasuklah aktivis alam sekitar, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil.
“Beliau begitu komited tentang soal alam sekitar dan pencerobohan tanah, bagi saya, sampai bila mereka ini mahu menjadi pendesak, lebih baik dan sudah tiba waktunya mereka menjadi sebahagian daripada kerajaan, itu pendirian kami,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai penglibatan penerbit dan pengarah filem terkenal, Ahmad Idham Ahmad Nadzri bersama GTA seperti yang dilaporkan media, Marzuki berkata, pihaknya mengalu-alukan mana-mana pihak untuk bersama gerakan itu.
“Kami mengalu-alukan pihak yang berbeza latar belakang, walaupun pernah menyertai mana-mana parti, mereka boleh sokong pergerakan kami tanpa perlu menjadi ahli kerana GTA ini adalah gerakan orang Melayu,” kata beliau. – UTUSAN