Ahli PPB diberi masa tiga bulan kenal pasti faktor krisis air

Ahli PPB diberi masa tiga bulan kenal pasti faktor krisis bekalan air di Pulau Pinang

AHLI Panel Penyemak Bebas diberi masa tiga bulan untuk memuktamadkan dapatan mereka bagi mengenal pasti faktor berlakunya krisis bekalan air di Pulau Pinang pada 6 Julai lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Ahli-ahli Panel Penyemak Bebas (PPB) yang dilantik oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang diberi masa tiga bulan dari tarikh pelantikan mereka berkuat kuasa 10 Ogos lalu untuk memuktamadkan dapatan mereka bagi mengenal pasti faktor berlakunya krisis bekalan air pada 6 Julai lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari berkata, ahli-ahli yang dilantik itu terdiri daripada Datuk Ir. Ting Chek Choon, Datuk Dr. Nor Azazi  Zakaria dan Datuk Ir. Lim Chow Hock.

Menurut beliau, ahli-ahli yang terdiri daripada pakar-pakar dalam bidang kejuruteraan air serta pengurusan lembangan tadahan air itu diberi tanggungjawab membincangkan, meneliti dan mengkaji laporan ‘post-mortem’ yang disediakan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) berhubung krisis bekalan air yang berlaku 6 Julai hingga 11 Julai lalu. 

“Mereka yang dilantik ini diberi masa tiga bulan daripada tarikh pelantikan mereka yang telah berkuat kuasa pada 10 Ogos untuk memuktamadkan dapatan mereka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pada 11 Julai lalu, PBAPP mengumumkan bekalan air pulih sepenuhnya di seluruh negeri ini selepas enam hari gangguan disebabkan oleh penutupan sementara Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua.

Penutupan sementara LRA Sungai Dua pada 6 Julai lalu itu disebabkan kadar kekeruhan air mentah yang luar biasa tinggi dari Sungai Muda berikutan banjir di Baling, Kedah.

Penutupan LRA Sungai Dua itu mengakibatkan sebanyak 80 peratus atau 528,000 daripada 660,000 pemegang akaun air di seluruh negeri ini terputus bekalan air.

Menurut Zairil, fungsi dan peranan panel itu adalah bagi mengenal pasti faktor berlakunya krisis air di Pulau Pinang.

Selain itu katanya, panel itu juga berperanan mengenal pasti kelemahan semasa berlakunya krisis air dan mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab.

“Mereka juga berperanan mencadangkan langkah-langkah jangka masa pendek, sederhana pendek dan panjang bagi penyelesaian krisis air yang berlaku,” katanya.

Tambahnya, ahli-ahli panel itu juga berperanan mencadangkan kepada kerajaan negeri langkah-langkah yang perlu diambil bagi mencegah krisis air daripada berulang pada masa depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN