Ahli Parlimen pembangkang gesa dibenarkan masuk ke sekolah

Ahli Parlimen pembangkang gesa dibenarkan masuk ke sekolah

HANNAH YEOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin digesa mengeluarkan arahan bagi membenarkan ahli Parlimen pembangkang masuk ke kawasan sekolah untuk meninjau tapak kerja naik taraf atau infrastruktur baharu yang dilaksanakan.

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh berkata, gesaan itu selaras dengan termeterainya perjanjian Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik (MoU) antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Beliau berkata, menerusi MoU tersebut, semua ahli Parlimen PH telah mendapat peruntukan untuk kegunaan kawasan Parlimen termasuk geran untuk sekolah jika program, kerja pembaikan, naiktaraf atau infrastruktur baharu yang bersesuaian. 

“Persoalannya, bagaimana saya boleh memastikan kerja menaik taraf atau pembinaan infrastruktur di sesebuah sekolah disiapkan dengan baik dan mengikut piawaian yang ditetapkan jika saya tidak dibenarkan memasuki sekolah untuk melihat keadaan sedia ada, kerja pembaikan di tapak dan kerja yang telah siap. 

“Saya merupakan ahli Parlimen yang telah dipilih secara sah oleh pengundi dan saya mempunyai akauntabiliti untuk menjelaskan kepada umum bagaimana peruntukan yang saya terima ini dibelanjakan.

“Menteri Pendidikan sepatutnya mengalu-alukan kehadiran ahli Parlimen pembangkang ke sekolah kerana kami membantu meringankan beban kementerian dalam memastikan infrastruktur di sekolah dibaiki demi keselesaan para pelajar,” katanya dalam satu kenyataan.

RADZI JIDIN

Menurut Hannah, perkara itu adalah satu contoh jelas di mana Kabinet tidak membuat kerja penyelarasan antara agensi mereka.

“Peruntukan diluluskan oleh Unit ICU di Jabatan Perdana Menteri tetapi Kementerian Pendidikan tidak membenarkan ahli Parlimen pembangkang memasuki sekolah untuk lawatan tapak atau menghadiri majlis rasmi sekolah yang berada di dalam kawasan Parlimen mereka. 

“Di Segambut, wakil Barisan Nasional (BN) dibenarkan keluar masuk sekolah tetapi saya yang telah menang pilihan raya, dipilih secara sah untuk mewakili penduduk di sana dan meluluskan peruntukan untuk sekolah diminta berdiri di luar pintu pagar sekolah dan tiada sebarang gambar penyerahan cek atau lawatan tapak dibenarkan di dalam kawasan sekolah kecuali sekolah agama yang ditubuh dan di tadbir oleh Pihak Berkuasa Agama Negeri,” katanya.

Dengan kewujudan MoU antara kerajaan dan PH katanya, larangan lapuk tersebut tidak sepatutnya berkuatkuasa lagi kerana ia tidak masuk akal, tidak adil malah menyebabkan warga pendidik di sekolah berada dalam keadaan tersepit dan ketakutan.

“Saya sedih melihat para guru besar dan pengetua sekolah ketakutan apabila saya tiba di pagar sekolah melihat kerja pembaikan yang telah siap. Ini langsung tidak mencerminkan semangat tenaga pengajar yang sepatutnya dibenarkan untuk membuat apa yang betul,” katanya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya