PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima penganugerahan Ijazah Kedoktoran Kehormat oleh Universiti Marmara, Turkiye, sebagai mengiktiraf sumbangan Seri Paduka Baginda dalam bidang Sains Politik dan Hubungan Antarabangsa.
Dalam satu kenyataan menerusi Facebook Istana Negara hari ini, Seri Paduka Baginda bertitah bahawa ijazah tersebut bukan sahaja begitu bermakna buat diri Baginda, tetapi juga merupakan penghormatan tertinggi yang diberikan kepada Malaysia dan rakyatnya.
“Ini kerana ia adalah cerminan tahap pengiktirafan dan penghormatan bersama tertinggi antara kedua-dua negara yang sememangnya bersaudara.
“Sebagai negara Islam yang moden serta progresif, Malaysia dan Turkiye boleh memupuk kerjasama lebih kukuh dalam bidang pendidikan,” kata kenyataan tersebut.
Pada masa sama, Seri Paduka Baginda bertitah bahawa inisiatif sedemikian boleh menjadi pemangkin kepada umat Islam yang bersatu dan lebih kuat, kerana pendidikan menjadi jalan penting untuk mewujudkan susunan sosial yang universal dan padu.
“Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan, agar Turkiye akan menerima lebih ramai pelajar Malaysia untuk belajar di pelbagai institusi pendidikannya dan penyelidik bersama, sarjana dan pelajar, pertukaran dan perkongsian penemuan adalah beberapa elemen yang boleh diusahakan oleh institusi pendidikan,” kata kenyataan tersebut.
Menyentuh lawatan negara ke Turkiye, Seri Paduka Baginda bertitah ia bertujuan mengeratkan lagi hubungan persaudaraan antara Malaysia dan Turkiye yang telah menjalin hubungan diplomatik sejak 1964.
“Sejak itu, silaturahim kedua-dua negara telah diperkukuh dengan hubungan politik, ekonomi dan budaya yang lebih erat.
“Ikatan antara rakyat Malaysia dan Turkiye terus berkembang dengan semakin banyak lawatan. Peningkatan lawatan dan interaksi akan membolehkan kedua-dua negara mengenal pasti bidang kerjasama baharu yang memberi manfaat kepada rakyat,” kata kenyataan tersebut.- UTUSAN