Abang Viva mahu jadi seperti Ebit Lew

Abang Viva mahu jadi seperti Ebit Lew

AZWAN Omar mahu terus melakukan kerja sukarelawan membantu masyarakat di dalam dan luar negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Abang Viva atau nama sebenarnya Azwan Omar, 30, berhasrat menjadi seperti Ustaz Ebit Lew dan beberapa tokoh dalam dunia sukarelawan yang dapat membantu komuniti masyarakat dalam skala besar.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Azwan mempunyai impian untuk bukan sahaja membantu masyarakat di dalam negara, tetapi juga di luar negara seperti yang dilakukan oleh beberapa sukarelawan besar.

Beliau juga sudah menubuhkan pertubuhan bukan kerajaan sendiri April lalu iaitu Pertubuhan Gerakan Kebajikan Abang V-Va berpangkalan di Melaka dan dianggotai 30 individu.

“Dalam dunia sukarelawan, untuk pencapaian peribadi saya nak capai seperti apa yang Ebit Lew atau beberapa individu hebat lain. Misi sukarelawan mereka sudah sampai ke luar negara, sudah membantu pelbagai masyarakat, negara-negara luar pun sudah kenal mereka.

“Untuk pertubuhan pula, saya nak bawa ia sampai ke tahap tinggi yang boleh. Dalam jangka masa terdekat ini pun, saya nak buat satu van pesakit secara percuma untuk membawa pesakit tidak kritikal mendapatkan rawatan. Ia akan bermula di sekitar Melaka terlebih dahulu,” katanya ketika dihubungi.

Azwan mula dikenali apabila dia dianggap sebagai wira banjir kerana usahanya dari Melaka memandu Perodua Viva dengan membawa bot getah di atas bumbung untuk membantu mangsa-mangsa banjir di sekitar Selangor. Baru-baru ini juga beliau turut membantu mangsa di Pahang.

Berkat usaha murninya membantu mangsa banjir, Azwan tersenarai dalam antara 883 pe­nerima darjah kebesaran Negeri bersempena Hari Ulang Tahun ke-73 Yang Dipertua Negeri Me­laka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam dan beliau menerima Pi­ngat Jasa Kebaktian (PJK).

Bercakap mengenai penerimaan pingat tersebut, Azwan terharu apabila niatnya membantu orang dalam kesusahan membawanya menerima penghargaan tinggi itu.

“Saya tak pernah jangka atau bermimpi pun untuk mendapat pingat dan penghargaan se­tinggi itu. Jujurnya, saya rasa diri saya tak layak untuk mendapat pi­ngat tersebut kerana saya rasa saya tidak buat apa pun, lebih ramai sukarelawan di luar lagi banyak berjasa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN