50 termasuk 47 warga asing ditahan dalam serbuan di kelab ‘Amoi Thai’ - Utusan Malaysia

50 termasuk 47 warga asing ditahan dalam serbuan di kelab ‘Amoi Thai’

SEBAHAGIAN wanita warga asing ditahan Jabatan Imigresen dipercayai gadis pelayan di sebuah kelab hiburan terkenal di Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 50 individu ditahan Jabatan Imigresen (Imigresen) dalam serbuan di sebuah kelab malam terkenal di Taman Bukit Indah Nusajaya, Johor awal pagi tadi. 

Operasi bermula 1 pagi itu dijalankan sepasukan 27 orang pegawai Imigresen dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Imigresen Putrajaya.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, operasi itu merupakan rentetan daripada hasil maklumat soal siasat tangkapan sindiket membekal tukang urut warganegara Thailand yang ditumpaskan pada 21 Julai lalu.

Katanya, dalam serbuan itu, seramai 150 orang diperiksa manakala 50 orang individu yang terdiri daripada warga asing dan tempatan berusia lingkungan 24 hingga 35 tahun ditahan.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada 43 wanita Thailand, seorang wanita Laos, dua lelaki Bangladesh dan seorang lelaki Pakistan.

“Turut ditahan tiga warga tempatan terdiri daripada seorang lelaki dan dua wanita yang berperanan sebagai penjaga premis berkenaan. Kesemua warga tempatan yang direman di bawah Seksyen 117 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, kesemua wanita warga asing yang ditahan disyaki bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) manakala lelaki warga asing sebagai pekerja am di kelab malam tersebut.

Jelasnya, semasa serbuan dilakukan, terdapat beberapa orang wanita warga asing cuba melarikan diri namun berjaya ditangkap oleh pegawai operasi.

“Ada juga pengunjung yang cuba melakukan provokasi dengan mencabar pegawai operasi dan melemparkan kata-kata kesat namun situasi berjaya dikawal dan ditenteramkan,” katanya.

Menurut Khairul Dzaimee, modus operandi kegiatan itu dengan gadis pelayan akan berdiri di atas pentas kemudian pengunjung memilih dengan menyarungkan kalungan bunga kepada GRO yang dikehendaki.

“Bayaran yang dikenakan di antara RM200 sehingga RM300 bagi setiap kalungan bunga.

“Sekiranya pelanggan ingin mendapatkan perkhidmatan seks daripada pelayan, bayaran yang dikenakan adalah sekitar RM1,000 ke RM1,500 satu malam,” katanya.

Jelasnya, semakan awal mendapati warga asing itu memasuki Malaysia menggunakan Pas Lawatan Sosial (PLS) sebagai pelancong dan mereka memenuhi syarat-syarat kemasukan bagi tujuan melancong namun menyalahgunakan kemudahan telah disalah guna.

“Kesemua mereka yang ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(4) Akta Imigresen dan Seksyen 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. Tiga warga tempatan ditahan di bawah Seksyen 55E dan 56(1)d Akta Imigresen,” jelasnya.

Tambahnya, turut dirampas 50 pasport pelbagai warganegara dan kesemua yang ditahan telah dibawa ke Pejabat Imigresen Setia Tropika, Johor untuk siasatan lanjut.

Sehubungan dengan itu, Jabatan Imigresen akan terus memburu saki-baki warga asing yang terlibat dalam rangkaian sindiket ini dan akan memperketatkan lagi kawalan di sempadan khususnya di pintu-pintu masuk di sebelah utara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya