3 bekas peguam Najib mohon Presiden Badan Peguam minta maaf

Tiga bekas peguam Najib mohon Presiden Badan Peguam minta maaf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tiga bekas peguam bela Datuk Seri Najib Razak menuntut Presiden Badan Peguam Malaysia meminta maaf dan membayar ganti kepada mereka selepas badan itu didakwa telah memfitnah pasukan pembelaan itu ketika mewakili bekas Perdana Menteri itu dalam rayuan akhirnya.

Perkara itu dinyatakan dalam surat tuntutan bertarikh 26 Ogos lalu yang dikeluarkan oleh firma guaman, Zaid Ibrahim, Suflan TH Liew & Partners yang mewakili peguam Datuk Zaid Ibrahim, Liew Teck Huat dan Rueben Mathiavanam.

Menurut surat tuntutan tersebut, ketiga-tiga peguam terbabit mendakwa, Presiden badan itu, Karen Cheah Yee Lynn telah mengeluarkan kenyataan mengkritik tindakan mereka sewaktu mewakili Najib pada rayuan akhirnya.

Kenyataan itu antara lainnya menyatakan, Badan Peguam tergamam dengan tindakan pasukan pembelaan Najib yang disifatkan sebagai penyalahgunaan dan tindakan mencemari sistem keadilan melalui pelbagai usaha demi menangguhkan pendengaran kes tersebut.

Permohonan oleh peguam untuk dilepaskan daripada mewakili bekas Perdana Menteri, keengganan peguam untuk berhujah dalam pendengaran rayuan dan tindakan Najib memberhentikan khidmat Zaid, Teck Huat dan Rueben secara tiba-tiba dikatakan sebagai tidak profesional dan salah guna proses mahkamah.

Sehubungan itu, ketiga-tiga peguam terbabit mendakwa, kenyataan yang dikeluarkan itu adalah palsu, berniat jahat, fitnah dan berat sebelah.

Selain itu, kenyataan itu juga antara lain menggambarkan bahawa ketiga-tiga peguam itu tidak profesional apabila menerima kes daripada Najib dengan agenda tidak elok untuk salah guna proses mahkamah dan mempunyai motif jahat untuk memperlekehkan sistem kehakiman.

Zaid, Teck Huat dan Rueben juga mendakwa kenyataan oleh Yee Lynn itu juga seolah-oleh menggambarkan mereka sebagai tidak profesional, tidak cekap dan jahil mengenai Peraturan Amalan dan Etika peguam di samping secara terang-terangan menghina mahkamah.

Oleh itu, ketiga-tiga peguam terbabit memohon Yee Lynn meminta maaf, menarik balik kenyataan tersebut dan tidak mengulangi pernyataan yang didakwa memfitnah itu.

Permohonan maaf itu dituntut dilakukan dalam tempoh tujuh hari. Selain itu, mereka turut meminta ganti rugi yang akan ditentukan kemudian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN