24.2 hektar tambah keluasan tapak pelupusan Sungai Udang

24.2 hektar tambah keluasan tapak pelupusan Sungai Udang

ZAIDI Attan (kanan) melakukan tinjauan pada Majlis Kemuncak Hari Kitar Semula Sisa Fabrik 2022 dan Pengiktirafan MBOR di Ayer Keroh, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Proses pengambilan tanah untuk peluasan kapasiti Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Sungai Udang di sini berada di peringkat akhir.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Melaka, Datuk Zaidi Attan berkata, keluasan satu-satunya tapak pelupusan sampah di negeri ini akan ditingkatkan dengan tambahan sebanyak 24.2 hektar untuk menampung keperluan 50 tahun akan datang.

Jelasnya, usaha kerajaan negeri itu juga bertujuan untuk membangunkan sebuah loji sisa ke tenaga (WTE) yang dijangka siap dibina sepenuhnya pada 2026.

“Kini proses penambahan sel berada di peringkat akhir pengambilan tanah, sepatutnya kita telah membuat pembayaran kepada pemilik tanah tetapi ada beberapa isu dan Isnin ini, saya akan berbincang dengan agensi terlibat.

“Kita perlu segerakan penambahan luas sel tapak pelupusan ini untuk bina WTE kerana penggunaan tapak sedia ada akan mencapai tahap maksimum pada April 2024,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Kemuncak Hari Kitar Semula Sisa Fabrik 2022 dan Pengiktirafan Malaysia Book Of Records (MBOR) di Ayer Keroh di sini, semalam. 

Pada Januari lalu, Utusan Malaysia melaporkan, kondisi Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Sungai Udang boleh dianggap ‘kritikal’ memandangkan ia merupakan satu-satunya lokasi pembuangan sisa buangan dari tiga daerah di negeri ini.

Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Melaka, Khairuladha Ab. Mutalib berkata, terkini tapak pelupusan berkeluasan kira-kira 26 hektar itu sudah memasuki fasa ketiga iaitu fasa terakhir yang sepatutnya penuh pada September 2024.

Dalam pada itu, tambah Zaidi, dengan pembinaan WTE itu, Melaka akan menjadi negeri pertama menggunakan teknologi hijau terkini dalam pengurusan sisa pepejal. 

“Pada tahun lepas sebanyak 346,750 tan sampah telah dihantar ke Tapak Pelupusan Sanitari Sungai Udang dengan kos pelupusan sebanyak RM12.6 juta,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN