183 penagih, pengedar dadah ditahan sejak Januari - Utusan Malaysia

183 penagih, pengedar dadah ditahan sejak Januari

YUSHARIFUDDIN MOHD. YUSOP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Seramai 183 penagih dan pengedar dadah ditahan menerusi Op Tapis Khas membabitkan lima siri operasi yang dilancarkan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar sejak Januari tahun ini.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd. Yusop berkata, menerusi operasi berkenaan, pelbagai jenis dadah bernilai RM30,980.76 dirampas dengan anggaran bagi kegunaan seramai 400 orang penagih.

Katanya, operasi yang dijalankan itu menyasarkan kawasan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), jeti nelayan, jeti haram dan lokasi aktif yang menjalankan kegiatan penyalahgunaan dadah.

“Pecahan jumlah rampasan itu adalah meliputi dadah jenis syabu (162.04 gram), heroin (91.94 gram), pil Yaba (0.86 gram), daun ketum (550,000 gram) dan cecair ketum (58.4 liter). Semua individu yang ditahan adalah berusia 16 hingga 58 tahun terdiri daripada 161 lelaki dan 22 wanita,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Yusharifuddin berkata, sebanyak 168 kertas siasatan dibuka di mana 156 individu dituduh di mahkamah manakala selebihnya masih dalam siasatan.

Jelasnya, tindakan juga diambil ke atas dua tokan dadah masing-masing berusia 30 dan 41 tahun di bawah Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.

“Enam individu turut dituduh di bawah Seksyen 39C (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih tujuh tahun serta tidak melebihi tiga sebatan jika disabitkan kesalahan,” katanya.

Tambah Yusharifuddin, operasi berkenaan yang dilaksanakan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Kangar bersama JSJN Kontinjen Perlis serta beberapa pasukan sahabat terdiri daripada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan diperhebat selepas ini.

“Polis akan mempergiat tindakan bagi membanteras kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah sekali gus melumpuhkan sumber bekalan, kewangan dan aset sindiket dalam memastikan kegiatan ini dibanteras habis-habisan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya