17,599 rakyat Malaysia muflis sejak Januari 2020 hingga Mei 2022

17,599 rakyat Malaysia muflis sejak Januari 2020 hingga Mei 2022

Statistik Jabatan Insolvensi Malaysia mendedahkan seramai 247,407 individu muflis hingga September lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai 17,599 individu diisytiharkan bankrap sepanjang tempoh 2020 hingga Mei tahun ini.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, daripada jumlah itu, seramai 4,164 orang yang dicatatkan muflis datangnya dari Selangor.

“Wilayah Persekutuan kedua tertinggi dengan 2,203 orang; Johor (1,987); Sabah (1,642); Perak (1,278); Kedah (976); Pulau Pinang (949); Sarawak (948); Negeri Sembilan (831); Pahang (776); Kelantan (724); Terengganu (569); Melaka (453) dan Perlis dengan 99 orang,” katanya dalam jawapan lisan di Dewan Rakyat, semalam.

Mengikut pecahan umur, individu berusia 35 hingga 44 tahun paling banyak muflis dengan 6,681 orang.

Individu berusia 45 hingga 54 tahun pula 4,819 orang; 25 hingga 34 tahun (3,171); 55 tahun ke atas pula 2,823 orang sementara 46 orang lagi di bawah 25 tahun.

Sejumlah 59 kes lagi tidak dapat ditentukan tahap umur mereka.

Bagi pecahan jantina, kaum lelaki paling banyak diiisytiharkan muflis iaitu 12,970 orang berbanding 4,607 wanita dan 22 kes lagi tidak dapat ditentukan jantinanya.

Menurut Wan Junaidi, majo­riti kes muflis ini membabitkan kaum Melayu iaitu 10,266 kes.

Ini diikuti Cina dengan 4,447 kes, India (1,321 kes), lain-lain (1,516 kes), manakala 48 kes lagi melibatkan bukan warganegara.

Dalam hal tersebut, jelas Wan Junaidi, kerajaan telah mengkaji undang-undang berkaitan kebankrapan melalui Akta Kebankrapan (Pindaan) 2017 [Akta A1534] yang telah berkuat kuasa pada 6 Oktober 2017.

“Melalui Akta A1534, kerajaan telah memberi hak perlindungan dan jaminan kepada bankrap berdasarkan lunas undang-undang yang telah digariskan berdasarkan rujukan dan perbandingan negara-negara luar seperti United Kingdom, Singapura, New Zealand dan Hong Kong,” katanya dalam kenyataan bertulis itu.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa (PH-Parit Buntar) yang meminta penjelasan berhubung bilangan rakyat Malaysia yang diisytiharkan muflis sejak Januari 2020 hingga Mei lalu mengikut umur, jantina dan kaum.

Mujahid turut bertanya, adakah kerajaan bercadang membuat polisi baharu bagi mengelak lebih ramai diisytihar muflis di usia muda.

Jelas Wan Junaidi, Akta A1534 telah pun memperkenalkan peruntukan-peruntukan baharu bagi melindungi kepentingan penghutang dan individu bankrap.

Bulan lalu, akhbar ini melaporkan, sebanyak 32,000 lagi peminjam dijangka muflis dalam tempoh dua tahun akan datang jika kadar dasar semalaman (OPR) terus dinaikkan iaitu pertambahan 70 peratus daripada jumlah peminjam muflis sedia ada.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM), Rosland Mohd. Ariff berkata, jumlah peminjam muflis yang direkodkan sehingga kini sudah lebih daripada 46,000 ekoran tidak mampu membayar pinjaman disebabkan pandemik Covid-19 dan kini diburukkan dengan peningkatan kos sara hidup.

Menurutnya, jika OPR terus dinaikkan rakyat akan terus ‘ditekan’ untuk menambah bayaran ansuran pinjaman menyebabkan mereka yang seawal usia 25 tahun akan lebih ramai diisytihar muflis.

“Dari awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga kini, lebih 46,000 rakyat sudah muflis disebabkan tidak mampu membayar pinjaman bank.

“Kini dengan kenaikan OPR dan kos sara hidup terus menekan rakyat,’’ kata beliau.

Menurut Rosland, rata-rata mereka yang muflis adalah yang membuat pinjaman kereta, peribadi, perumahan dan turut membabitkan penjawat awam.

“Pendedahan mengenai masalah mental disebabkan tiada duit sehingga ada yang bunuh diri kerana tidak tahu untuk meneruskan hidup cukup menampakkan rakyat belum bersedia dengan peningkatan kadar faedah hutang.

“Situasi yang dibuat oleh Bank Negara Malaysia (BNM) seharusnya melalui perbincangan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang paling hampir dengan rakyat. Saya membantah kenaikan OPR yang seperti dibuat sesuka hati ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya