Zurich Takaful Al-Shams untuk keluarga - Utusan Malaysia

Zurich Takaful Al-Shams untuk keluarga

NAZRULHISHAM ABD. HAMID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

Pelan takaful keluarga dengan ciri penerimaan terjamin amat penting kerana ia memberi peluang kepada pelanggan untuk menunaikan kewajipan terhadap keluarga dan menghadiahkan hibah untuk orang tersayang. Namun, ramai yang beranggapan mereka tidak berkemampuan untuk menyediakan hibah kepada ahli keluarga kerana bayaran bulanan yang mahal. Menyedari perkara itu, Zurich Takaful memperkenalkan Zurich Takaful Al-Shams dengan caruman bulanan serendah RM50. Ikuti temu bual di antara wartawan, NURFARAHIN HUSSIN bersama Ketua Pegawai Eksekutif Zurich Takaful, NAZRULHISHAM ABD. HAMID, baru-baru ini.

UTUSAN: Boleh ceritakan mengenai produk terbaharu Zurich Takaful Al-Shams?

NAZRULHISHAM: Zurich Takaful Al-Shams diperkenalkan pada April lalu sebagai pelan takaful keluarga dengan ciri penerimaan terjamin yang memberi peluang kepada pelanggan untuk menunaikan kewajipan terhadap keluarga dan menghadiahkan hibah untuk orang tersayang. Sekiranya berlaku kematian atau kecacatan kekal akibat kemalangan, penerima manfaat seperti isteri, suami atau anak-anak pencarum akan mendapat imbuhan sekali gus dapat membantu mereka meneruskan kehidupan.

Pelan terbaharu ini juga boleh dimiliki dengan caruman bulanan serendah RM50, untuk mendapatkan pampasan antara RM50,000 sehingga RM350,000. Ia bukan sahaja akan memberi perlindungan asas tetapi juga manfaat tambahan yang dapat membantu memberikan ketenangan fikiran kepada pencarum.

Apakah kelebihan pelan ini berbanding pelan takaful lain di pasaran?

Keistimewaan pelan ini adalah penerimaan dijamin. Walaupun pelanggan mempunyai masalah kesihatan, kita mahu melindungi semua lapisan masyarakat. Sihat atau kurang sihat, mereka boleh mendapatkan perincian daripada ejen kami, untuk dilindungi. Pelanggan juga tidak perlu melakukan pemeriksaan kesihatan sebelum mendapatkan pelan ini.

Pelan Zurich Takaful Al-Shams ini adalah pelan yang ditambah baik daripada pelbagai pelan terdahulu kerana kita sentiasa memikirkan kehendak pelanggan. Sebagai contoh, jika berlaku sesuatu yang tidak dijangka hingga menyebabkan orang yang dilindungi mengalami Hilang Upaya Keseluruhan dan Kekal, tambahan lima peratus daripada Jumlah Perlindungan Asas akan dibayar selama lima tahun untuk meringankan beban kewangan dan membantu proses pemulihan.

Selain itu, jika orang yang dilindungi meninggal dunia, penerima manfaat akan menerima 100 peratus daripada jumlah perlindungan asas. Sekiranya kematian adalah disebabkan oleh kemalangan ketika menaiki pengangkutan awam, jumlah manfaat yang diterima adalah dua kali ganda. Malah, pelan ini memberikan tiga kali ganda nilai manfaat sekiranya dia meninggal dunia akibat kemalangan di luar negara.

Manfaat tambahan sebanyak RM10,000 juga diberikan kepada orang yang dilindungi sekiranya mana-mana empat orang ahli keluarga meninggal dunia akibat kemalangan, 

Jika melihat kepada pelan biasa yang ditawarkan di pasaran, mungkin masyarakat rasa mereka tidak layak untuk mendapatkan perlindungan kerana bayaran bulanan yang mahal dan sebagainya. Namun apabila kita lakukan kajian, kita sentiasa memastikan manfaat akan diperoleh pelanggan dan syarikat juga mendapat keuntungan daripada produk.

Siapakah golongan sasaran untuk memiliki pelan Zurich Takaful Al-Shams?

Pelan ini adalah untuk semua lapisan masyarakat bermula dari usia 14 hari hingga 60 tahun. Kami secara agresif mahu dapatkan individu yang masih belum mendapat perlindungan daripada mana-mana pelan perlindungan di pasaran kerana Al-Shams adalah yang sangat berbaloi dengan bayaran bulanan antara terendah. 

Segmen yang difokuskan pula adalah individu berusia antara 30 hingga 40 tahun yang baru berkeluarga kerana mereka semestinya memikirkan yang terbaik buat anak-anak yang masih kecil. Pelan ini bukan sekadar perlindungan tetapi jaminan kewangan untuk masa depan ahli keluarga. Setidak-tidaknya, apabila berlaku perkara tidak diingini, keluarga kita mempunyai sumber kewangan bagi meneruskan kehidupan.

Bagaimana tercetusnya idea penghasilan produk ini?

Ketika awal pandemik, terdapat kesedaran yang meluas sehingga dua kali ganda mengenai keperluan memiliki pelan perlindungan hibah seperti ini. Namun, apabila dunia berada dalam pandemik, ramai yang kehilangan sumber pendapatan akibat diberhentikan kerja atau terpaksa berdepan pemotongan gaji. Justeru, bagi memastikan pelanggan masih boleh melindungi diri dan keluarga walaupun berdepan situasi sukar, kami memperkenalkan produk terbaik yang mampu milik namun memberikan jaminan kewangan. Dalam situasi terkini pula, rakyat berdepan dengan kenaikan harga barang keperluan dan inflasi jadi, tumpuan lebih kepada obligasi ini. Dengan Al-Shams, sekurang-kurangnya mereka mempunyai perlindungan serendah RM50,000 dengan bayaran bulanan yang tidak membebankan.

Pelan ini hanya mengambil masa kurang daripada setahun kerana kita memang mempunyai pakar tersendiri di Malaysia serta dari rantau ini. Kemudian, kami menjalankan analisis mengikut keadaan semasa dan keperluan pelanggan, satukan semua ciri-ciri terbaik sebelum ditawarkan kepada rakyat Malaysia.

Bagaimana dengan penerimaan rakyat selepas diperkenalkan?

Pelan ini sangat diterima oleh rakyat kerana pada bulan pertama pelancaran, nilai caruman sudah mencecah RM1.2 juta. Di awal pelancarannya, kami menyasarkan premium RM6 juta dalam tempoh setahun. 

Syarikat melihat produk ini sebagai ‘pembuka pintu’ kepada ejen kita di luar sana. Apabila mereka memperkenalkan produk terbaik Al-Shams, pelanggan akan tertarik dan inilah masanya mereka menawarkan lebih banyak produk kami yang mempunyai kebaikan tersendiri.

Apakah fokus Zurich untuk masa akan datang?

Zurich Malaysia akan terus menambah baik pelan Al-Shams mengikut kehendak semasa pelanggan. Kami juga akan melancarkan produk baharu dalam tahun ini yang semestinya mempunyai keistimewaan tersendiri. 

Zurich Malaysia adalah syarikat yang mempunyai hala tuju. Walaupun baru bertapak di negara ini selama 10 tahun, kami sangat kompetitif dalam mengeluarkan produk-produk terbaik untuk seisi keluarga. Untuk hari mendatang, kami mahu semua keluarga mempunyai perlindungan, selaras dengan seruan kerajaan.

Kami menyediakan semua perlindungan konvensional dan takaful untuk perniagaan dan keluarga. Semuanya di bawah satu bumbung. Kami mahu masyarakat menjadikan Zurich sebagai satu jenama perlindungan untuk seisi rumah daripada perlindungan kenderaan, kesihatan sehingga perlindungan hayat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya