Yayan Ruhian, dari persilatan ke dunia lakonan - Utusan Malaysia

Yayan Ruhian, dari persilatan ke dunia lakonan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan telah memperkenalkan peminat filem negara ini kepada seorang jaguh persilatan kelahiran Indonesia, Yayan Ruhian.

Membawakan watak orang suruhan British bernama Tago menerusi filem pecah panggung itu, populariti Yayan melonjak di Malaysia, sekaligus menarik minat ramai untuk menyelak latar belakang jaguh silat ini.

Penglibatan Yayan dalam dunia perfileman sudah bermula sejak 14 tahun lalu apabila dia diminta untuk muncul berlakon dalam sebuah filem aksi arahan sutradara, Gareth Evans.

Ketika bersemuka dengan pelakon ini baru-baru ini, Yayan menceritakan tentang titik permulaan yang membawa dia masuk ke dalam dunia seni lakon.

“Saya seorang guru persilatan yang sudah mendalami ilmu seni bela diri ini hampir 30 tahun. Saya mula mengajar silat sejak berusia 17 tahun lagi.

“Tuhan aturkan ketentuan yang kita tidak tahu. Pada 2008, saya diperkenalkan dengan Gareth yang ketika itu sedang menghasilkan sebuah filem dokumentari berkenaan seni persilatan.

“Melihat pada kesesuaian karakter, mereka mempelawa saya untuk menyertai produksi filem berkenaan sebagai pelakon. Boleh saya katakan, filem Merantau itu adalah permulaan bagi kelahiran saya di dalam dunia lakonan,” katanya.

Menurut Yayan, meskipun sibuk memenuhi tawaran berlakon dalam dan luar negara, dia tidak melupakan akan tanggungjawab hakikinya sebagai seorang tenaga pengajar seni bela diri tersebut.

“Saya masih mengajar silat. Bila berkesempatan, saya akan mengajar dan pada masa sama belajar dari murid-murid saya di sebuah perguruan silat yang berlokasi di Jakarta.

“Meskipun berasal dari kepulauan Jawa, saya seringkali ke Jakarta untuk mengajar di sana,” ujarnya.

Mempromosikan budaya ke mata dunia
Pencapaian Yayan dalam bidang lakonan bukan calang-calang. Lebih membanggakan apabila dia menjadi pelakon dari rantau Asia Tenggara yang sering menerima undangan untuk menjayakan filem-filem berskala besar di Hollywood.

Antara pencapaian filem mega yang pernah disertai pelakon berusia 54 tahun ini adalah Star Wars: The Force Awaken yang diterbitkan pada tahun 2015 dan John Wick: Chapter 3 – Parabellum (2019) di samping pelakon terkenal, Keanu Reeves.

Menurut Yayan, meskipun rezeki terbuka luas di Hollywood, dia tidak pernah melupakan asal usul dan tanggungjawab dalam mempromosikan budaya Asia khususnya dari Asia Tenggara.

“Selama bekerja di sana saya tidak pernah diminta menjadi orang lain. Saya jadi diri sendiri kerana saya bangga dengan budaya dan negara sendiri. Mereka menjemput saya kerana mereka memerlukan karakter yang hanya ada pada orang Asia.

“Kita ada seni bela diri yang berbeza. Karakter silat Melayu tidak ada di Barat.Di Indonesia ada lebih 100 karakter silat.

“Kita boleh menguasai seni bela diri dari negara luar. Namun, adalah lebih baik sekiranya kita dalami juga seni bela diri yang datang dari budaya sendiri,” ujarnya.

Hidup berdisiplin dan tepati masa
Itu perkara berulang kali dinyatakan Yayan apabila disoal tentang pengalaman bekerja dengan produksi filem di Hollywood.

Katanya, perkara itu adalah satu nilai yang cukup ditekankan penggiat filem di Barat.

“Dalam setiap projek, baik dalam negara sendiri atau di luar, pasti ada perbezaan. Sebuah projek akan berjalan baik jika disiplin terhadap waktu itu dibudayakan.

“Itu yang sangat membezakan kita dengan Hollywood. Perancangan mereka rapi.

Ada waktu-waktu tertentu yang sudah ditetapkan dan ditepati. Bermula dari pelakon itu dijemput dari hotel, sehinggalah proses solekan, pemakaian kostum dan sesi penggambaran. Semua itu mereka rancang dengan baik.

“Kelemahan pengurusan masa berlaku dalam industri pembikinan filem di Asia Tenggara. Kita mampu perbaikinya. Waktu itu penting kerana ia menentukan kelancaran satu-satu produksi,” kongsinya.

Mat Kilau dan Syamsul Yusof
Menjawab pertanyaan tentang mengapa dia memilih untuk menjadi sebahagian daripada filem epik, Mat Kilau. Jawabnya ringkas, kerana Syamsul Yusof.

Jelas Yayan, latar belakang pengarah tersebut dan popularitinya di Indonesia membuatkan dia terpanggil tampil di dalam filem berkenaan.

“Satu kebanggaan buat saya kerana dapat bekerjasama dengan Syamsul Yusof,” katanya.

Seperti semua tahu, dia pernah dinobatkan sebagai pengarah terbaik di Festival Filem Asia Pasifik ke-57 di Kemboja.

“Beberapa filemnya juga sering ditayangkan di Jakarta. Dia ada peminat yang ramai di sana,” katanya.

Dalam pada itu, bercerita tentang tawaran untuk berlakon di dalam filem tersebut, Yayan berkata keputusan tidak diambil sehari dua.

“Studio Kembara datang berjumpa kami di Jakarta untuk bincangkan tentang filem ini. Saya katakan Insya-Allah. Namun pada pertemuan kedua sekitar awal 2018, keputusan kami muktamadkan.

“Filem Mat Kilau, pembuatannya teliti. Ambil masa. Sangat berlainan kerana ia adalah sebuah cerita yang diambil dari kisah sebenar. Jadi saya sangat bangga kerana diberi peluang menjadi sebahagian naskhah ini,” katanya lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya