KANGAR : Parti Warisan Sabah (Warisan) belum menetapkan sebarang bentuk kerjasama dengan mana-mana parti politik di Semenanjung dan memutuskan perkara tersebut selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Presidennya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, fokus Warisan ketika ini adalah kerjasama dengan rakyat.
Katanya, Warisan juga akan memperhalusi terlebih dahulu kawasan dan jumlah kerusi di Semenanjung yang bakal ditandingi para PRU15.
Ujarnya, selain Perlis yang terbaharu, Warisan sudah bertapak di Johor, Perak, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan selain sesetengah negeri lain selepas ini.
“Kita tidak akan masuk ke semua negeri dan hanya fokus bertanding di kawasan yang diyakini mendapat sokongan,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran Warisan peringkat negeri ini di salah sebuah hotel, di sini hari ini.
Sementara itu, Mohd. Shafie berkata, gelombang PRU15 dijangka lebih luar biasa berbanding PRU14 dengan semua parti politik termasuk Warisan mempunyai kelebihan.
Katanya, pembangkang ketika itu mampu membentuk kerajaan menewaskan Barisan Nasional (BN) meskipun hanya terdapat dua isu besar iaitu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan cukai barang dan perkhidmatan (GST).
“Menjelang PRU15, pelbagai isu berbangkit khususnya desakan hidup rakyat selepas kenaikan harga barangan yang sehingga kini belum dapat diselesaikan.
“Gelombang PRU15 dilihat berbeza berbanding sebelum ini memandangkan negara sedang berdepan pelbagai isu yang membelenggu rakyat secara keseluruhan.
“Saya jangkakan bukan mudah untuk mana-mana parti menyatakan mereka boleh menang dalam PRU15 ini dan semua parti politik mempunyai kelebihan selain rakyat mempunyai lebih banyak pilihan dalam pilihan raya nanti,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Warisan negeri, Datuk Abd. A’zib Saad berkata, sebanyak 500 borang keahlian telah dikeluarkan dan proses menarik lebih ramai penyokong sedang aktif dijalankan oleh jawatankuasa penaja yang dilantik.
“Terdapat tiga bahagian parti itu telah ditubuhkan di Perlis meliputi kawasan Kangar, Padang Besar dan Arau.
“Kita tidak terlalu mengejar untuk mencari ahli memandangkan fokus kita lebih kepada untuk mendapatkan penyokong terdiri daripada pelbagai lapisan kaum dan masyarakat,” katanya. – UTUSAN










