PERMATANG PAUH: “Sekali ‘pi’ (meninggal dunia) sampai empat (orang), bukan satu, bukan dua dan bukan tiga. Saya memang betul-betul sedih”.
Demikian jelas Muhamad Hazman Rahim, 20, mengenai pemergian bapa, Rahim Ramli, 60, dan ibunya, Siti Petimah Omar, 59, yang terbunuh dalam kemalangan ngeri membabitkan tujuh kenderaan di Kilometer (KM) 277.1, Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) menghala ke selatan, petang semalam.
Ketika kejadian, kesemua mangsa yang menaiki kereta jenis Proton Persona itu dipercayai dalam perjalanan dari Sungai Petani, Kedah menuju ke Kuala Lumpur.
Selain Rahim dan Siti Petimah, turut menemui ajal dalam nahas itu ialah dua lagi anak kepada pasangan terbabit iaitu Nor Hadirah, 28, dan Nor Hamizah, 27.
Muhamad Hazman ketika ditemui pemberita berkata, ketika kejadian, dia dihubungi oleh seorang lagi kakaknya iaitu Nor Fatini, 22, yang memaklumkan mengenai berita sedih itu.
“Kakak telefon cakap ayah dan mak dah meninggal. Saya terkejut sebab semalam (kelmarin) saya balik jumpa (mereka), cium tangan semua. Tengok-tengok hari ini (petang semalam) tak ada dah.
“Tak tahu nak cakap macam mana,” katanya yang ketika ini sedang menjalani latihan praktikal di sebuah syarikat di Perlis.
VAN yang membawa jenazah empat beranak tiba di pekarangan Masjid Permatang Pasir kira-kira pukul 1.30 pagi selepas selesai menjalani proses bedah siasat di Unit Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh, Perak.
Tambah anak bongsu daripada empat beradik itu, dia masih terkejut dengan pemergian kedua-dua orang tua serta kakak-kakaknya kerana mereka langsung tidak menunjukkan sebarang petanda sebelum ‘pergi’.
“Saya tahu mereka semua akan ke Kuala Lumpur untuk menghantar kakak (Nor Hadirah) ke tempat kerjanya setelah lama bercuti dan saya pun macam biasa akan cium tangan mak ayah sebelum balik.
“Apabila jadi macam ini (kehilangan empat ahli keluarga serentak), saya sedih tak tahu nak cakap macam mana. Tinggal saya dengan seorang lagi kakak (Nor Fatini),” katanya sebak.
Dalam pada itu, van yang membawa jenazah empat beranak itu tiba di pekarangan Masjid Permatang Pasir di sini kira-kira pukul 1.30 pagi selepas selesai menjalani proses bedah siasat di Unit Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh, Perak.
Suasana hiba turut dirasai di kawasan tanah perkuburan yang terletak bersebelahan masjid tersebut dan dihadiri ramai saudara, kenalan serta penduduk setempat.
Keempat-empat jenazah selamat dikebumikan dalam satu liang lahad kira-kira pukul 3 pagi dalam keadaan hujan renyai. – UTUSAN










