Usah gopoh laksana kad subsidi - Utusan Malaysia

Usah gopoh laksana kad subsidi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan disaran tidak gopoh dalam memperkenal kad subsidi mahupun menambahkan pilihan pada aplikasi MySejahtera bagi pembelian barangan seperti minyak peket kepada isi rumah sepertimana dicadangkan segelintir pihak.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, kedua-dua mekanisme itu perlu diteliti secara mendalam dari segi kos dan faedah di samping tempoh penggunaannya sebelum ingin dilaksanakan.

Menurut beliau, walaupun inisiatif kad subsidi baik dan sudah dipraktikkan di beberapa negara termasuk India, namun dalam situasi Malaysia ia masih memerlukan kajian.

“Untuk menerbitkan kad subsidi tentunya melibatkan kos dan tidak ekonomik jika langkah itu hanya bersifat sementara di samping turut memerlukan maklumat data peribadi golongan terkesan atau layak.

“Oleh itu, jangan gopoh melaksanakannya, sebaliknya tumpu kepada kesan inflasi ketika ini termasuk dengan meneruskan sistem subsidi pukal bagi minyak masak agar semua rakyat dapat menikmati manfaat selain mengetatkan penguatkuasaan di sempadan bagi mengurangkan penyeludupan,” katanya semalam.

Mekanisme

Terdahulu, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dilapor mencadangkan mekanisme penggunaan kad subsidi atau menambahkan pilihan pada aplikasi MySejahtera bagi memastikan isi rumah dapat memanfaatkan barang bersubsidi seperti minyak peket.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman berkata, minyak masak peket sudah dimasukkan dalam kuota untuk setiap isi rumah namun dibeli golongan lain seperti peniaga dan penjaja di kaki lima dalam jumlah yang banyak.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff menyifatkan penggunaan MySejahtera adalah paling tepat bagi memastikan isi rumah menerima manfaat barangan bersubsidi.

Katanya, pendekatan itu diyakini dapat menangani isu kekurangan minyak masak peket selain membantu kerajaan memantau bekalan di pasaran.

“Langkah menambah pilihan pada MySejahtera bagi pembelian barangan bersubsidi seperti minyak peket dan RON95 oleh golongan B40 membolehkan pelarasan dibuat dengan stok perniagaan sekali gus membendung aktiviti penyelewengan dan penyeludupan,” katanya,- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×