Untung rendah, peniaga akur jual ayam ikut harga siling

Untung rendah, peniaga akur jual ayam ikut harga siling

MOHD. Shahrul Nizam Mohd. Zamizi menunjukkan harga ayam yang dijual di Pasar Besar Dungun, Terengganu. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Peniaga di daerah ini akur menjual ayam mengikut harga siling pada RM9.40 sekilogram walaupun mendapat keuntungan rendah sejak Jumaat lalu.

Tinjauan di beberapa kedai runcit dan pasar di daerah ini mendapati, tiada peniaga yang ingkar dengan arahan kerajaan tersebut dan mengenakan bayaran bagi upah potong ayam.

Peniaga ayam di Pasar Besar Dungun, Shahul Hamid Maidin, 65, berkata, dia hanya memperoleh keuntungan sebanyak 50 sen satu kilogram selepas mendapat bekalan ayam dengan harga RM8.90 bagi satu kilogram.

“Kalau ikutkan, memang tak untung sangat sebab dengan keuntungan 0.50 sen itu tak termasuk modal plastik dan ais.

“Pak cik ikut sahaja apa yang kerajaan tetapkan kerana tidak mahu dikenakan tindakan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Seorang lagi peniaga ayam, Mohd. Shahrul Nizam Mohd. Zamizi, 27, berkata, dia yang mendapat bekalan ayam secara terus dari ladang, memperoleh keuntungan lebih besar berbanding peniaga yang mendapat bekalan ayam yang telah siap diproses.

“Untuk satu kilogram ayam hidup, saya dapat dengan harga RM6.20. Kalau ikutkan, memang untung lebih, tetapi saya perlu bekerja lebih untuk memproses ayam,” katanya.

Seorang pembeli, Noriah Ahmad, 50, berkata, penetapan harga siling ayam membantu meringankan beban keluarga besar sepertinya yang mempunyai tujuh anak.

Sementara itu, tinjauan di Kota Bharu, Kelantan mendapati, peniaga tidak mengenakan caj untuk memotong ayam segar yang dijual kepada pelanggan selain mematuhi harga siling baharu RM9.40 sekilogram.

Seorang peniaga, Mohd.Din Abd.Ghani, 33, dari Bachok berkata, dia tidak tergamak mengenakan caj terhadap pemotongan ayam kerana harga bahan mentah itu disifatkan masih tinggi.

Menurutnya, jika caj itu dikenakan berkemungkinan besar pengguna berdepan pertambahan kos sekali gus membebankan mereka.

“Mengambil kira harga ayam masih lagi tinggi di pasaran ketika ini, saya tekad ‘memejamkan’ mata dengan tidak mengenakan caj kepada pelanggan. Alhamdulillah, dengan kos pengangkutan ayam ke Kelantan, saya boleh jual dengan harga yang murah lagi dari harga siling kerajaan.

“Walaupun murah, perniagaan saya merosot sejak awal tahun kerana orang ramai kurang membeli ayam berikutan harganya mahal,” katanya.

Sementara itu, di Gua Musang, seorang pengguna, Norzulin Harun Hassan, 55, berkata, langkah penetapan harga siling itu membantu mengurangkan impak peningkatan kos sara hidup keluarganya.

Katanya, walaupun harga siling naik namun ia masih dalam kadar yang tidak memberikan kesan besar berbanding jika harga barangan itu diapungkan.

“Saya berterima kasih kepada pihak kerajaan kerana membantu rakyat yang mengalami situasi sukar selepas pandemik Covid-19.

“Saya perlu mengeluarkan kos untuk membeli ayam secara kerap. Saya perlu menyediakan ayam untuk tujuh ahli keluarga dan ayam itu hanya mampu bertahan tempoh dua hari,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN