KOTA KINABALU: Pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) bakal menikmati menu makanan berkualiti dengan harga serendah RM3.50 bermula hari ini.
Ia selaras dengan saranan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) agar pihak Institusi Pengajian Tinggi (IPT) menyediakan jualan makanan di dalam kampus pada harga siling RM3.50 menerusi inisiatif Food Basket Siswa Keluarga Malaysia.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof. Madya Dr. Raman Noordin berkata, usaha itu diharap dapat membantu pelajar berdepan dengan cabaran peningkatan kos sara hidup.
“Ini diharap dapat membantu mengurangkan beban kewangan pelajar UMS secara keseluruhan terutama pelajar dalam kelompok B40,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, selaras dengan saranan KPT, pihak pengurusan UMS mengadakan perbincangan dengan pengusaha kafeteria di kolej-kolej kediaman dan kesemua pengusaha bersetuju menyediakan menu makanan dengan harga siling serendah RM3.50.
“Walaupun dengan harga yang lebih murah namun, penyediaan menu makanan akan kekal berkualiti agar setiap pelajar menikmati hidangan makanan yang lengkap dan bernutrisi,” katanya.
Pada masa ini, sejumlah 13,179 pelajar B40 sedang mengikuti pengajian di UMS.
Dalam pada itu, UMS turut menawarkan moratorium bayaran sewa selama enam bulan kepada pengusaha kafeteria mulai bulan ini bagi membantu pengusaha kafeteria menangani isu kenaikan harga barangan.
Langkah tersebut dijangka mampu membolehkan tanggungan kos sewa diserap bagi menurunkan harga makanan yang dijual kepada pelajar memandangkan peningkatan harga barangan turut memberi kesan kepada harga makanan di dalam kampus.

Sementara itu, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Taufiq Yap Yun Hin berkata, inisiatif Food Bank Siswa ini tidak terhad kepada pelajar dalam kampus sahaja malah, ia juga untuk pelajar yang tinggal di luar kampus.
“Untuk itu, Pusat Non Residen dan Fasiliti Perumahan Pelajar (PNRF) juga telah mewujudkan Food Bank untuk pelajar Non Residen berdekatan dengan pejabat PNRF di Anjung Siswa, UMS,” katanya.- UTUSAN










