Ugut, simbah cat: Abang dipenjara, adik tunggu laporan sosial

Ugut, simbah cat: Abang dipenjara, adik tunggu laporan sosial

MUHAMAD SHAHMIRUL Syafit Abdullah (dua dari depan) ketika tiba di pekarangan Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Seorang bekas pekerja kantin terpaksa menjalani hukuman penjara selama enam bulan selepas didapati bersalah mengugut dan menyimbah cat di kawasan rumah seorang lelaki di Perai, Februari lalu.

Adik tirinya yang turut terlibat dalam kejadian itu bagaimanapun dibenarkan untuk diikat jamin sebanyak RM3,000 sementara menunggu laporan sosial dikeluarkan pada 10 Ogos ini.

Difahamkan, laporan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) itu akan digunakan sebelum sebarang hukuman dijatuhkan kerana tertuduh ketika kejadian masih di bawah umur.

Terdahulu, kedua-dua tertuduh iaitu Muhamad Shahmirul Syafit Abdullah, 28, dan Muhamad Shahmirul Shahzwan Nik Haron, 19, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam di sini secara berasingan atas pertuduhan yang sama.

Muhamad Shahmirul Syafit yang memakai baju lokap berwarna jingga tiba hampir dua jam lebih awal di pekarangan Mahkamah Majistret Bukit Mertajam di sini berbanding adik tirinya yang tiba dengan ditemani anggota polis.

Hukuman ke atas mereka dijatuhi selepas kedua-dua tertuduh mengaku bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan ke atas mereka di hadapan Majistret Nurulrasyidah Mohd. Akit.

Mengikut pertuduhan, pada 25 Februari lalu kira-kira pukul 2 pagi, kedua-dua tertuduh yang berkhidmat sebagai pembantu kepada pemberi pinjaman wang tidak berlesen didapati telah mengganggu Mohd. Shafrizal Safardeen, 39, dengan menyimbah cat di rumah mangsa.

Kejadian itu dilakukan di sebuah rumah di Lorong Siakap 6, Taman Siakap dalam daerah Seberang Perai Tengah (SPT) di sini.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 29B (4), Akta Pemberi Wang Pinjam (APPW) 1951 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada RM50,000 dan tidak lebih daripada RM250,000 atau dipenjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali selain dikenakan sebatan jika kes tersebut berulang selepas ini.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Syafiq Nasrullah Saleem Ali dan Norafifah Mohd. Shokri manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Difahamkan, dua beradik tiri itu hanya menerima upah sebanyak RM350 untuk melakukan kerja mengugut serta menyimbah cat tersebut. – UTUSAN

 

habis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya