BALING: Tragedi kepala air sehingga mengakibatkan banjir lumpur dan meragut tiga nyawa sekeluarga di Kampung Iboi, Kupang di sini sudah genap seminggu.
Walaupun kini sudah memasuki fasa pembersihan di kawasan terlibat, namun timbul persoalan apa punca sebenar yang mendorong kepada fenomena dahsyat tersebut sehingga 15 buah rumah di tebing Sungai Kupang lenyap terus selain banyak kediaman lain rosak teruk.
Jika tragedi di Gunung Jerai, Yan pada 18 Ogos tahun lalu ditakrifkan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) sebagai bencana geologi tidak sampai 48 jam selepas kejadian, tetapi tiada sebarang jawapan dikeluarkan jabatan itu sehingga kini membabitkan Gunung Inas.
Apatah lagi, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengesahkan
Hutan Simpan Gunung Inas yang terdapat pembangunan ladang hutan di kompartmen lapan sejak 2019 tidak berada dalam senarai risiko berlaku bencana.
Maka pelbagai pihak terutama penduduk Kampung Iboi yang paling teruk terjejas tidak dapat lari daripada melakukan dakwaan ia berpunca daripada projek tanaman Musang King di puncak gunung itu yang mendorong tragedi buruk itu menimpa mereka.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Penasihat Sahabat Alam Sik (SAS), Mohd. Sobri Ramlee berkata, kebimbangan yang pernah disuarakan mereka berhubung kejadian kepala air boleh berlaku dari Gunung Inaekoran aktiviti tebus guna tanah di kawasan itu ada asasnya.
Projek
“Pada 2018 kami sudah sampai ke sana dan melihat sendiri teres yang dibuat penggerak projek tersebut memang boleh beri kesan langsung kepada sungai. Akhirnya apabila hujan lebat baru-baru ini, ia bawa sekali aliran lumpur ke Sungai Kupang yang merupakan laluan utama dari puncak gunung itu.
“Apabila terjadi insiden kepala air di Gunung Jerai tahun lepas, kami pun sudah melahirkan kebimbangan bahawa Gunung Inas juga berkemungkinan berlaku insiden sama dan lihatlah apa yang berlaku hari ini,” katanya ketika dihubungi semalam.
Dalam kejadian Isnin lalu, timbunan kayu balak dan pokok-pokok hutan dipercayai dihanyutkan aliran air deras dari kawasan hulu sungai sebelum menghempap rumah-rumah penduduk yang terletak di tebing Sungai Kupang, selain sebuah jambatan konkrit yang menjadi laluan utama turut roboh.
Justeru, ujar Mohd. Sobri, maklumat penduduk yang mendakwa kolam tadahan dibina untuk projek tanaman tersebut pecah perlu diberi perhatian serius dan pihak berkaitan perlu mengemukakan laporan semasa beserta bukti yang nyata.
Katanya, penduduk berhak mengetahui rumusan Jabatan Alam Sekitar (JAS) terhadap laporan penilaian impak alam sekitar (EIA) yang dikatakan tiada kelulusan untuk projek Musang King seperti didedahkan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.
Bertukar
“Kita tak tahu siapa yang salah, sikap tuding-menuding dah bermula dengan kerajaan negeri juga sudah beberapa kali bertukar sejak awal-awal Gunung Inas akan dibangunkan dengan projek Ladang Hutan lagi.
“Maka, sebab itu saya gesa Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) adalah platform terbaik kerana banyak pihak perlu dilibatkan untuk merungkai tragedi yang berlaku ini kerana kita tidak mahu lagi ia berlaku termasuk di lokasi lain,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Iboi, Abu Hasan Samah berkata, mereka tetap meletakkan projek tanaman Musang King tersebut sebagai faktor utama memburukkan lagi bencana yang berlaku.
“Memanglah kejadian seperti ini tidak diduga, kami pun tak tahu apa yang terjadi tapi dengan melihat kayu-kayu dan pokok-pokok yang bersepah di tebing Sungai Kupang ini, bagi kita tragedi ini adalah punca Musang King.
“Dahulu lagi orang-orang kampung membuat bantahan tapi tak diendahkan kerajaan, kami sudah kemukakan memorandum tetapi lihatlah apa yang sudah berlaku hari ini sehingga kami ditimpa musibah,” katanya.- UTUSAN










