PETALING JAYA : Pas mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pimpinan dan ahlinya yang bertindak membelakangkan aspek perpaduan dan mendorong berlakunya perpecahan di dalam kalangan masyarakat.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Pas menjunjung tinggi titah nasihat dan pandangan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya gejala perpecahan yang kini berlaku dalam kalangan orang Melayu di negara ini dihentikan segera.
“Pas juga akur sebagaimana dititahkan Baginda bahawa agama Islam sentiasa menggalakkan manusia bersatu padu dan tidak berpecah belah selaras dengan perintah yang terkandung dalam kitab suci al-Quran.
“Sehubungan itu, Pas akan terus komited untuk mengusahakan agenda penyatuan ummah dalam kalangan umat Melayu Islam di negara ini serta sekali gus mengukuhkan perpaduan nasional di antara semua rakyat Malaysia yang berbilang kaum.
“Kita Pas juga akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pimpinan dan ahlinya yang bertindak membelakangkan aspek perpaduan dan mendorong berlakunya perpecahan di kalangan masyarakat,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, Sultan Sharafuddin Idris Shah memandang serius gejala perpecahan dalam kalangan orang Melayu terutama pemimpin politik di negara ini.
Baginda bertitah, perbalahan yang dilihat amat ketara kini boleh mengancam perpaduan, keharmonian hidup rakyat pelbagai kaum dan kestabilan politik
Sultan Selangor juga bertitah, pemimpin-pemimpin politik Melayu perlu sedar bahawa pembangunan serta kemajuan negara amat bergantung kepada kepimpinan yang stabil dan jika pemimpin Melayu gagal menunjukkan kepimpinan yang baik dan bertanggungjawab, kaum lain akan hilang rasa hormat sekali gus tidak akan memberi sokongan yang padu kepada pemerintahan orang Melayu. –UTUSAN
HABIS










