Tidak salah bersih kubur JWW Birch

Tidak salah bersih kubur JWW Birch

STAF Lembaga Muzium Negeri Perak membersihkan kawasan kubur JWW Birch di Kampung Gajah, Perak, baru-baru ini. - IHSAN LEMBAGA MUZIUM NEGERI PERAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tindakan petugas Lembaga Muzium Negeri Perak membersihkan kubur Residen Inggeris pertama, JWW Birch baru-baru ini tidak salah dari segi syarak.

Pengerusi Persatuan Ulama Malaysia (PUM) Wilayah Persekutuan, Datuk Mohamad Abdullah berkata, langkah itu juga tidak berniat memuliakan bekas penjajah bukan Muslim.

“Pada saya, ia bukan satu kesalahan pun dan tiada dalil berhubung larangan dalam agama Islam termasuk ziarah kubur orang bukan Islam,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Terdahulu, tular bantahan terhadap inisiatif dilaksanakan pihak lembaga itu membersihkan kubur Birch di Teluk Memali, Kampung Gajah pada 14 Julai lalu.

Ia susulan laporan Utusan Malaysia pada 7 Julai lepas yang mendedahkan luahan Pengerusi Pembangunan Komuniti Perak Tengah, Nordin Abdul Malek mengenai keadaan terbiar di situ.

Situasi itu ujarnya, tidak patut berlaku kerana ia bukan sahaja dapat dijadikan lokasi tarikan pelancong, malah dari aspek sejarah sebagai bukti perjuangan pahlawan menentang kolonial.

Birch maut dibunuh pada 1875 lalu oleh orang Melayu yang menentang campur tangan Inggeris di Pasir Salak.

Mengulas lanjut, Mohamad yang berpengalaman luas dalam bidang kehakiman syariah sebelum bersara namun berkata, umat Islam dilarang mendoakan kesejahteraan buat si mati.

“Kita tidak boleh berbuat demikian termasuk mendoakan agar azab mendiang itu diringankan Allah kerana pegangan akidah antara Islam dan bukan Islam adalah jauh berbeza,” tegasnya.

Semakan Utusan Malaysia melalui laman sesawang rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mendapati, hukum melawat kubur bukan Muslim tidak dianggap kesalahan.

Bahkan, ulama Mazhab Syafie berpendapat orang Islam juga boleh memandikan, mengkafankan dan mengebumikan jenazah individu tersebut selain menghadiri upacara pengebumiannya.

Bagaimanapun, umat Islam dilarang keras untuk menyertai aktiviti ritual keagamaan mereka termasuk pengagungan khas buat mendiang seperti menunduk kepada gambar atau jenazah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN