PETALING JAYA: Seramai 1,005 individu ditahan Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan pelbagai barangan rampasan dianggarkan bernilai RM1.1 bilion melalui pelbagai operasi dijalankan sejak 1 Januari lalu hingga semalam.
Komander Briged Tengah PGA, Senior Asisten Komisioner Hakemal Hawari berkata, sepanjang tempoh tersebut, pihaknya menjalankan sebanyak 288 serbuan di sekitar Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
Katanya, PGA melaksanakan pelbagai pendekatan strategik dalam membanteras jenayah penyeludupan khususnya di sempadan perairan melibatkan pantai Selangor dan pantai barat Johor.
“Dalam tempoh bermula 1 Januari hingga 4 Ogos (semalam), sebanyak 10 serbuan melibatkan Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) dijalankan di sekitar Selangor.
“Serbuan itu turut membawa kepada penahanan 15 tekong darat melibatkan lapan warga tempatan dan tujuh warga Indonesia bersama 224 pendatang asing tanpa izin (PATI).
“Dalam serbuan terbabit, PGA merampas dadah jenis syabu seberat 10.355 kilogram (kg) dan pil ekstasi seberat 3.60 kg serta dua kenderaan dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM1.5 juta dalam serbuan berasingan pada 21 dan 22 Jun lalu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, kejayaan itu membuktikan komitmen berterusan PGA dalam membanteras jenayah yang mengancam keselamatan serta kesejahteraan negara.
“Pihak polis turut menyeru kerjasama masyarakat untuk bersama-sama menjadi barisan hadapan dalam menyalurkan maklumat sebagai mata dan telinga kepada pasukan keselamatan.
“Ini demi memastikan sempadan negara kekal bebas daripada pencerobohan serta aktiviti haram,” katanya.- UTUSAN










