Tiada kompromi kes tuntutan palsu dana Penjana Kerjaya 

Tiada kompromi kes tuntutan palsu dana Penjana Kerjaya 

M. SARAVANAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Manusia (KSM) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang membuat tuntutan palsu dan penyelewengan dana kerajaan dalam Program Insentif Pengambilan Pekerja (Penjana Kerjaya).

Menterinya, Datuk Seri M. Saravanan berkata, pihak majikan dan penyedia latihan yang terlibat dalam salah laku menerusi permohonan Penjana Kerjaya digesa untuk tampil ke Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan membuat bayaran balik insentif tersebut bagi mengelak tindakan undang-undang yang lebih keras pada masa akan datang.

“KSM menyokong penuh usaha Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Perkeso dalam menjalankan siasatan berhubung kes tuntutan palsu dan penyelewengan dana Penjana Kerjaya membabitkan pihak majikan dan penyedia latihan di seluruh negara melalui Op Hire.

Op Hire yang dijalankan bermula 13 Julai adalah satu aktiviti yang perlu dilaksanakan dan KSM tidak akan berkompromi memandangkan terdapat pelbagai pihak yang mengambil kesempatan ke atas inisiatif kerajaan dengan melaksanakan penyelewengan dana dan tuntutan palsu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Saravanan berkata, Perkeso juga mengambil tindakan proaktif dengan menggantung bayaran program Penjana Kerjaya. 

Kata beliau, tindakan penggantungan bayaran ini dibuat berdasarkan analisa data dan pemantauan pengoperasian Penjana Kerjaya secara berterusan oleh Perkeso.

“Sehingga kini, jumlah bayaran yang dibuat Perkeso kepada para majikan dan pekerja di bawah Program Penjana Kerjaya adalah sebanyak RM2.34 bilion membabitkan seramai 45,379 majikan bagi menempatkan seramai 327,789 pencari kerja ke dalam pekerjaan.

“Oleh itu, saya menyeru kepada para majikan dan penyedia latihan agar tidak membuat salah laku atau tuntutan palsu kerana sumber kewangan yang disalurkan telah diagihkan untuk tujuan menyokong usaha-usaha penting kerajaan demi memperkasakan pasaran buruh di Malaysia,” ujarnya.

Saravanan berkata, seramai 37 individu telah ditahan reman SPRM bagi membantu siasatan berhubung isu tuntutan palsu dan penyelewengan dana insentif Program Penjana Kerjaya dengan nilai keseluruhan dana adalah hampir RM100 juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.