Tendang muka isteri, suami berdepan penjara dua tahun - Utusan Malaysia

Tendang muka isteri, suami berdepan penjara dua tahun

TERTUDUH diiring keluar anggota polis selepas dihadapan ke Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan menyebabkan kecederaan kepada isterinya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Padah menendang muka isteri sehingga cedera gara-gara cemburu awal bulan ini, seorang lelaki berdepan hukuman penjara dua tahun selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Ayer Keroh di sini hari ini.

Tertuduh, Danial Dallas Abdullah, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nabiha Mohd. Noor. 

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada isterinya, Norazlinda Ali, 41, dengan cara menendang muka.

Tindakan itu dilakukan kira-kira pukul 8 malam di sebuah rumah di Taman Kesidang, dalam daerah Melaka Tengah pada 4 Julai 2022.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM2,000 mengikut Seksyen 323 dan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan.

Difahamkan, tertuduh yang mendirikan rumah tangga selama 12 tahun melakukan perbuatan itu selepas mendakwa isterinya yang bekerja di sebuah kedai makan menjalinkan hubungan sulit. 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasarudin mencadangkan jaminan sebanyak RM5,000 dikenakan. 

Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jaminan rendah diberikan dengan alasan perlu menanggung dua orang anak dengan gaji bulanan RM1,200. 

Selepas mendengar rayuan kedua pihak, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 September depan untuk sebutan semula kes. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN