PETALING JAYA: Polis mengesahkan iklan menawarkan jualan keahlian dan lambang (crest) Persatuan Bekas Polis Malaysia adalah palsu.
Setiausaha Polis Diraja Malaysia (SUPM), Datuk Noorsiah Mohd. Saaduddin berkata, pihaknya mengesan satu posting yang mempromosikan jualan lambang tersebut di media sosial selain diberikan keistimewaan.
Kata beliau, antaranya perkhidmatan pengiring polis dengan bayaran RM300 bagi 10 kilometer malah pemilik kenderaan boleh memasang cermin gelap.
“Iklan itu turut mendakwa tiada tindakan akan dikenakan pihak berkuasa sekiranya memandu dalam keadaan mabuk serta merupakan simbol prestij jika digunakan.
“Orang ramai yang berminat boleh menghubungi individu yang nombornya turut tertera dalam iklan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, susulan itu, siasatan sedang dijalankan ke atas individu yang bertanggungjawab dalam menyebarkan iklan tersebut.
Tegas beliau, tiada sebarang kelebihan sedemikian atau ditawarkan mana-mana pihak seperti didakwa.
“Orang ramai yang menerima iklan promosi itu diminta untuk tidak terpengaruh atau menghubungi penama dinyatakan.
“Masyarakat juga diminta merujuk kepada saluran media rasmi polis bagi mengelak menjadi mangsa penipuan,” ujarnya.- UTUSAN