PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengetatkan tatacara jualan dalam talian, khususnya membabitkan barangan kawalan serta bersubsidi seperti minyak masak.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, setakat ini, pihaknya berjaya mengesan 38 iklan penjualan minyak masak paket serta botol di dua platform terkenal utama pasaran dalam talian.
Beliau berkata, kesemua iklan berkenaan sudah diarahkan untuk diturunkan menerusi operasi gempur kegiatan dagangan barang kawalan dan bersubsidi.
“Sejak 1 Julai lalu hingga semalam, 18 premis yang mempunyai alamat penjual pada platform dalam talian berkenaan digempur, sebelum pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan bekalan minyak masak paket dan botol.
“Justeru, satu kes direkodkan mengikut Peraturan 3(1) Peraturan Kawalan Bekalan (PKB) 1974 iaitu mana-mana orang tidak boleh berurusan secara borong atau runcit apa-apa barang berjadual tanpa lesen yang dikeluarkan di bawah Peraturan 4.
“Bagi kes kedua pula, tindakan diambil mengikut Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu menyimpan apa-apa barang yang dikawal selain daripada premis yang dilesenkan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Katanya, rentetan itu, 255 minyak masak peket 1 kg dan 41 minyak botol (dalam kemasan 500 gram, 1 kg, 2 kg dan 3 kg) berjaya disita, dengan nilai rampasan keseluruhan RM1,495.50.
Alexander berkata, kedua-kedua kes ini sedang dalam tindakan mengikut saluran undang-undang di bawah bidang kuasa KPDNHEP. – UTUSAN










