Takut ditangkap kononnya mengubah wang haram, pemandu ambulans rugi RM21,178 - Utusan Malaysia

Takut ditangkap kononnya mengubah wang haram, pemandu ambulans rugi RM21,178

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Bimbang ditangkap kerana kononnya terlibat aktiviti pengubahan wang haram, seorang pemandu ambulans kerugian RM21,178 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan Macau Scam.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, kejadian bermula selepas lelaki berusia 36 tahun itu dihubungi seorang lelaki tidak dikenali bulan lalu yang mendakwa mangsa mempunyai tunggakan cukai.

Katanya, mangsa menafikan perkara itu dan suspek telah meminta dia membuat laporan polis dengan panggilan tersebut disambung pula ke Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan.

“Menerusi panggilan itu, seorang lelaki mengatakan bahawa mangsa terlibat dalam pengubahan wang haram dan tindakan mahkamah akan diambil kerana waran tangkap dikeluarkan atas namanya.

“Disebabkan bimbang, mangsa setuju untuk selesaikan kes di mana dia perlu membuat pembayaran. Mangsa diarah membuat beberapa kali transaksi ke akaun berbeza yang diberikan suspek,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, pengadu hanya disedari ditipu sindiket berkenaan ketika pergi ke sebuah bank bagi membuat kad pengeluaran wang automatik (ATM) yang baharu.

“Mangsa memaklumkan kepada pihak bank tujuan kad itu dibuat kerana mahu menyelesaikan kes yang dihadapinya. Bagaimanapun, pihak bank memaklumkan yang dia telah ditipu oleh pihak sindiket.

“Mangsa tampil membuat laporan polis kelmarin di Balai Polis Teluk Intan kerana merasakan telah ditipu. Jumlah kerugian yang dialaminya berjumlah RM21,178,” katanya.

Tambah beliau, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya