Tabung Haji nafi wujud kartel PJH

Tabung Haji nafi wujud kartel, mana-mana syarikat pelancongan boleh mohon PJH

haji
GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) menafikan kewujudan kartel dalam soal pemilihan agensi pelancongan sebagai Pengelola Jemaah Haji (PJH).

Pengarah Eksekutif Haji Tabung Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, mana-mana syarikat pelancongan boleh memohon untuk menjadi PJH yang berlesen dan akan dipilih secara tahunan setelah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

Katanya, untuk memohon lesen PJH, syarikat pelancongan tempatan dikehendaki memenuhi antara syarat-syarat seperti berikut pengalaman mengendalikan umrah tiga tahun berturut-turut dan ada rekod Bank Negara Malaysia melalui Pusat Sistem Maklumat Rujukan Kredit (CCRIS) yang mengandungi maklumat seperti kewangan Pengarah Syarikat, Pemegang Saham Syarikat dan mana-mana individu dalam Pengurusan Syarikat. 

“Selain itu, pengurusan dan kakitangan yang berpengalaman dan mempunyai laporan juruaudit yang bersih untuk dua tahun terkini. Seterusnya, laporan Kewangan Syarikat yang telah diaudit untuk tiga tahun terakhir dan modal berbayar sekurang-kurangnya RM500,000.

“Turut diletakkan syarat dana pemegang saham yang positif, carian rasmi yang dikeluarkan oleh Jabatan Insolvensi Malaysia yang menyatakan syarikat dan individu bukanlah bankrap, lulus penilaian umrah oleh Pejabat Tabung Haji di Arab Saudi dan tiada kes mahkamah semasa.

“Oleh itu, dakwaan ‘kartel’ adalah sama sekali tidak benar dan tidak berasas. Mana-mana syarikat boleh memohon untuk menjadi PJH berlesen dibawah TH dan dipilih apabila memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH) menggesa supaya amalan ‘Kartel TH’ dalam soal pemilihan agensi pelancongan untuk menjadi PJH dapat dihapuskan.

Presidennya, Datuk Seri Razali Mohd Sham, menyarankan setiap agensi pelancongan yang diberi kelulusan PJH diulang ganti setiap dua tahun sekali.

Dalam masa sama, Syed Saleh berkata, sistem itu telah diguna pakai sejak tahun 2000 dan ditambah baik secara berkala dan diperkemas kali terakhir pada tahun ini.

“Syarat-syarat pemilihan PJH yang ditetapkan adalah bagi memastikan syarikat-syarikat pelancongan tempatan memiliki kapasiti yang teguh serta mampu memberikan perkhidmatan Haji yang terbaik termasuk mampu menjaga rapi kebajikan jemaah haji Malaysia,” kata beliau.

Menurut beliau, Tabung Haji telah mengeluarkan lesen PJH kepada 22 buah syarikat pelancongan tempatan pada 22 Februari tahun ini di mana syarikat-syarikat tersebut telah melalui proses saringan dan pemilihan yang teliti untuk beroperasi sebagai PJH berlesen bagi Musim Haji 1443H/2022.

Beliau turut memaklumkan bahawa TH juga telah memilih dua PJH baru tahun ini iaitu Az Zuha Group Travel & Tours Sdn. Bhd dan Mimm Travel & Tours Sdn Bhd bagi menguruskan pemergian haji ke tanah suci. 

“Permohonan lesen PJH dibuka setiap tahun dan ditutup pada 1 Ramadan. Bagi permohonan baharu untuk musim 1444H/2023M, permohonan telah ditutup pada 1 Ramadan 1443H/ 2 April 2022. Permohonan untuk musim 1445H/2024 pula akan ditutup pada 1 Ramadan 1444H,” jelas beliau. 

Beliau juga menyarankan orang ramai terutama bakal-bakal haji untuk menggunakan perkhidmatan pakej haji yang disediakan oleh PJH yang dilesenkan Tabung Haji sahaja dan boleh merujuk kepada senarai PJH di laman web TH di www.tabunghaji.gov.my. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya