Suami sering termenung sebelum maut - Utusan Malaysia

Suami sering termenung sebelum maut

JAMIAH menunjukkan gambar Allahyarham suaminya yang ditemukan di jalan tanah merah berhampiran Lebuhraya Desaru-Senai.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Seorang warga emas yang dipercayai meninggal dunia dan ditemukan di jalan tanah merah berhampiran Lebuhraya Desaru-Senai semalam banyak termenung pada saat akhir hayatnya.

Isterinya, Jamiah Hasan, 70, berkata, kali terakhir dia berjumpa suaminya Abu Samah Ahmad, 74, pada Ahad lalu di kediaman mereka di Felda Semenchu dan menyatakan mahu ke rumah adiknya di Felda Pasir Raja, Kulai.

“Sebelum itu, suami kata dia ada hendak hantar kawan dulu sebelum ke Kulai. Masa itu, saya tanya juga nak hantar siapa, namun, dia hanya diam. Pada malam itu, anak ada menelefon adik arwah bertanya tentang bapa mereka, namun, adiknya menyatakan dia belum sampai.

“Kami cuba hubungi telefon bimbit arwah, namun, tidak dapat. Kami sudah mulai risau masa itu, biasanya bila dia sampai di rumah adiknya, dia akan telefon beritahu sudah selamat sampai, sebaliknya kali ini tiada,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia hari ini.

Katanya, Allahyarham memang kerap tidur di rumah adiknya itu, kadangkala sebulan dua kali.

Ibu kepada tujuh anak itu berkata, keesokan harinya, iaitu pada Isnin anaknya mula mencari suaminya sehingga tengah malam di lokasi-lokasi yang sering dikunjungi, namun, tidak berjumpa arwah.

Mereka terkejut apabila keesokannya terdapat pekerja kebun memaklumkan suaminya ditemukan sudah meninggal dunia.

“Masa itu, kami semua terkejut. Anak-anak ada yang pergi ke lokasi, saya hanya tunggu di rumah. Anak memaklumkan kereta arwah ditemukan kira-kira 800 meter dari lokasi mayatnya dijumpai. 

“Keadaan keretanya alami kerosakan seperti terbabas selepas melanggar busut,  mungkin suami berjalan kaki sehingga ke tempat mayatnya dijumpai untuk meminta bantuan orang awam, namun, mungkin dia rebah dan jatuh. 

Suaminya yang mempunyai penyakit darah tinggi dan kencing manis baru sahaja pulih daripada demam.

“Bahkan pada hari Ahad itu, kereta dipandu sempat terbabas sekejap di depan rumah. Dia seorang yang pendiam, cuma akhir-akhir ini dia banyak termenung. Air mukanya juga nampak lain,” katanya yang reda dengan apa berlaku. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN