Suami maut disyaki dipukul isteri - Utusan Malaysia

Suami maut disyaki dipukul isteri

RUMAH mangsa bunuh di tingkat tiga Flat Jalan Nipah, Taman Daya, Johor Bahru disini.-UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki maut disyaki dipukul oleh isterinya sendiri di Flat Nipah, Taman Daya, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat yang mengesahkan kejadian itu berkata, mayat mangsa, Lee Ming How, 44, ditemukan terbaring di dalam rumahnya.

“Polis mendapat panggilan tentang kejadian itu pada pukul 7.50 pagi sebelum bergegas ke tempat kejadian dan berjaya menahan suspek berusia 35 tahun di kawasan sekitar.

“Anak lelaki sulung pasangan itu merupakan saksi kejadian tersebut,” katanya ketika dihubungi.

Raub berkata, motif dan senjata yang digunakan dalam pembunuhan itu masih dalam siasatan dan suspek akan dikenakan perintah reman.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, katanya.

Sementara itu, menurut sumber, mangsa ditemukan dalam keadaan kaki terikat dan terdapat kesan lebam di bahagian sebelah kanan muka.

Menurutnya, suspek telah ditahan polis di kawasan sekitar kediaman tersebut pukul 9.40 pagi tadi ketika dipercayai cuba melarikan diri.

Menurut seorang jiran, Zaidah Neng, 46, pasangan berkenaan kerap bergaduh dan suspek juga pernah ditahan polis sebelum ini.

“Saya memang kenal pasangan suami isteri berkenaan, tetapi kami tidaklah terlalu rapat cuma dia selalu datang beli burger di gerai saya.

“Wanita berkenaan baik sahaja orangnya, cuma dia seperti ada masalah mental. Jadi, ada ketikanya dia akan bertindak garang dan kerap marah-marah.

“Tetapi saya tidak faham apa yang diperkatakan wanita itu kerana dia bercakap seorang diri dalam bahasa Mandarin,” katanya ketika ditemui di kawasan berkenaan.

Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk bedah siasat kira-kira pukul 11 pagi. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN