PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan status sosioekonomi Bumiputera masih di tahap rendah.
Katanya, ini meskipun nilai jualan perdagangan borong dan runcit negara mencatatkan pertumbuhan 19.9 peratus iaitu sebanyak RM129.8 bilion, tertinggi sejak 2013.
“Penglibatan usahawan Bumiputera perlu dipertingkatkan, bukan lagi di sektor informal tetapi sektor formal seperti menjalankan perniagaan di pusat beli belah yang disasarkan di bawah Rancangan Malaysia Ke- 12 (RMK-12), katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-50 UDA Holdings Berhad.
Justeru, katanya, UDA perlu menggandakan penglibatannya dalam sektor perniagaan dan hartanah bagi merancakkan semula ekonomi khususnya dalam membantu usahawan Bumiputera untuk terus maju.
“Kerajaan juga sentiasa komited dalam memperkasa Bumiputera dengan peruntukan sebanyak RM11.4 bilion dalam Bajet 2022,” katanya.
Pada masa sama, beliau mengulangi hasrat kerajaan yang mahu menyemak semula pengurusan pusat beli-belah yang dimiliki syarikat berkaitan kerajaan (GLC) supaya diuruskan oleh syarikat tempatan agar peniaga Bumiputera dapat menjalankan perniagaan mereka di situ.
“Justeru, saya menyeru agar UDA dapat menjual atau menyewakan ruang-ruang perniagaan yang sedia ada pada kadar yang mampu ditanggung oleh usahawan Bumiputera yang berpotensi mengembangkan perniagaan mereka.
“Ini untuk membolehkan usahawan Bumiputera berniaga dalam suasana yang lebih selesai dan dalam masa yang sama dapat meningkatkan status mereka sebagai usahawan berjaya,” katanya. – UTUSAN