SHAH ALAM: Penyerahan pembangunan Stadium Shah Alam kepada pihak swasta disifatkan sebagai ‘lepas tangan’ dan membuktikan kegagalan sistem tadbir urus kerajaan Selangor.
Bangunan yang menjadi mercu tanda kemegahan Selangor itu sepatutnya perlu disambung apabila pentadbiran negeri diambil alih sejak 2008.
Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar mempersoalkan bagaimana kerajaan negeri yang memerintah selama 14 tahun tidak tahu menguruskan stadium itu.
“Sama ada mahu membina baharu atau merobohkannya, penyerahan kepada pihak swasta menunjukkan kerajaan negeri tidak mampu mentadbir urus stadium itu dan satu kegagalan.
“Kalau menguruskan stadium itu pun tidak pandai, bagaimana mahu menguruskan negara?” katanya selepas merasmikan Malaysia Sports League (MSL) Peringkat Negeri Selangor di sini, hari ini.
Semalam, kerajaan negeri masih tidak mengesahkan status Stadium Shah Alam sama ada diroboh atau dikekalkan sebaliknya perkara itu akan diketahui seawal Oktober ini selepas pameran awam dilakukan.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan satu pameran akan diadakan pada September ini bagi mendedahkan ilustrasi awal stadium dan kawasan itu yang mana lokasinya akan dimaklumkan kemudian.
Namun, pembaikan keseluruhan stadium dengan kapasiti 80,300 penonton itu memerlukan perbelanjaan sehingga RM787 juta.
Projek pembangunan stadium yang bakal berwajah baharu itu akan dilakukan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) bermula tahun depan dan dijangka siap pada 2026.
Jelas Noh yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, beliau sebagai anak jati Selangor amat kesal dengan tindakan penyerahan itu yang dianggap sebagai lepas tangan.
“Beliau sebelum ini memaklumkan ada peruntukan RM4 juta setahun bagi stadim itu namun ia umum dan bukannya peruntukan khusus.
“Saya kecewa dengan nasib stadium itu dan kenapa negeri lain masih boleh mengekalkan stadium sedia ada mereka?” soalnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan menangguhkan program pembangunan kementerian berkenaan sebagai langkah penjimatan dalaman atau ‘ikat perut’ demi rakyat.
“Namun, segala bantuan kepada usahawan akan terus disalurkan bagi membolehkan mereka bangkit semula. Kita tidak mempunyai banyak projek pembangunan dan sememangnya akan memfokuskan kepada usahawan,” ujarnya. – UTUSAN










