SPRM akan panggil nama-nama disebut dalam buku lejar UKSB

SPRM akan panggil nama-nama disebut dalam buku lejar UKSB

WAN JUNAIDI TUANKU JAAFAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil nama-nama disebut dalam buku lejar Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) yang dikaitkan dengan perbicaraan kes rasuah bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, siasatan berkenaan menentukan sama ada pemberian atau penerimaan wang adalah berunsur rasuah ataupun tidak.

“SPRM telah menerima beberapa aduan terhadap individu-individu terlibat yang tersenarai dalam satu lejar seperti dikemukakan di mahkamah baru-baru ini.

“SPRM akan memanggil semua nama yang disebutkan di dalam lejar berkenaan. Siasatan akan menentukan sama ada pemberian atau penerimaan wang adalah berunsur rasuah ataupun tidak,” katanya dalam jawapan bagi pertanyaan-pertanyaan jawab lisan yang tidak dijawab dalam Dewan Rakyat pada minggu lalu.

Beliau menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang meminta kerajaan menyatakan mengapakah SPRM tidak menyiasat penama-penama yang dikaitkan menerima wang daripada syarikat UKSB.

Antaranya, bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; tiga menteri Kabinet iaitu Khairy Jamaluddin, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein serta dua bekas Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan Datuk Seri Anifah Aman.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Shah Alam diberitahu nama-nama ahli politik disebut ketika perbicaraan kes rasuah Ahmad Zahid Hamidi sewaktu pemeriksaan balas yang membabitkan bekas Pengurus Pentadbiran UKSB, David Tan Siong Sun, 47, oleh peguam Ahmad Zahid, Datuk Ahmad Zaidi Zainal.

Ahmad Zahid, 69, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri ketika itu bagi melanjutkan kontrak syarikat berkenaan sebagai pengendali Pusat Sehenti (OSC) di China dan VLN, serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh kementerian terbabit.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa sebagai menteri sama ketika itu, mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000; RM3 juta, 15,000 Swiss Franc dan AS$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasmi beliau.

Ahmad Zahid didakwa melakukan semua kesalahan itu di Sri Satria, Presint 16, Putrajaya, dan Country Heights, Kajang, antara Oktober 2014 dan Mac 2018. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN