Di kota pesisir yang bernama Kuantan, di mana angin laut datang setiap petang membawa bau garam dan kenangan, Ramadan tiba setiap tahun seperti tetamu agung yang sudah lama dinanti disambut dengan paluan kompang, dengan lampu-lampu neon yang berkelip-kelip di antara dahan pokok dan tiang telefon, dengan senyuman di bibir yang menyembunyikan pertanyaan yang tidak pernah berani diucapkan.
Di tebing Sungai Kuantan yang mengalir lesu membawa serpihan cahaya senja ke muara, bazar Ramadan tumbuh dalam semalaman seperti hutan yang tiba-tiba berdiri. Panjang, riuh, berbau santan yang melarut dalam udara panas, gula hangus yang melekat di langit mulut, minyak panas berdesir seperti bisikan nafsu yang tidak pernah benar-benar tidur.
Sebaik sahaja matahari merunduk ke balik ufuk barat, manusia berduyun turun ke bazar seolah-olah air yang lama terbendung akhirnya menemui retakan di bendungnya. Wajah-wajah yang sejak azan Subuh menahan lapar dan dahaga dengan sabar kini berubah menjadi pemburu yang bersemangat.
Mata mereka merhati, memilih, menawar, merakam. Anak-anak kecil menarik lengan ibu sambil menunjuk air berwarna pelangi di dalam balang lutsinar. Remaja berbaris panjang di hadapan gerai ayam golek yang berputar perlahan di atas bara. Orang tua membelek kuih-muih dengan tangan yang berkerut halus, kononnya untuk cucu di rumah, tetapi mata mereka sendiri terpesona oleh rupa dan warna yang memikat.
Bazar itu bukan lagi sekadar tempat membeli juadah berbuka. Ia menjelma menjadi pesta yang tidak pernah diisytiharkan, karnival yang tidak pernah dirancang, gelanggang pembebasan nafsu yang terpendam sejak fajar. Seolah-olah sepanjang siang manusia berpuasa bukan untuk mendisiplinkan jiwa, tetapi untuk memberi alasan kepada nafsu supaya menuntut balasan berganda apabila Maghrib tiba.
“Ambil dua jenis lauk saja, bang. Sekali setahun,” kata seorang isteri kepada suaminya sambil memasukkan tiga bekas lauk ke dalam beg plastik yang sudah penuh sesak.
“Sekali setahun?” Suaminya tersenyum hambar. Senyuman orang yang sudah mengetahui jawapannya. “Setiap hari sepanjang bulan kita buat perkara sama.”
(2)
Di hujung deretan gerai yang bising, berdiri seorang lelaki berkostum kartun. Kepalanya sebesar labu peria, matanya bulat melopong tidak berkelip, senyumannya dibekukan dalam getah dan cat yang tidak mengenal perasaan. Kanak-kanak datang mendekat dengan rasa ingin tahu yang bercampur takut dan sebahagiannya ketawa melihat kepalanya yang luar biasa besar.
Lelaki itu menghulurkan bekas kecil, tidak berkata sepatah pun. Tangannya bergerak perlahan, perlahan seperti orang yang sudah kehabisan tenaga tetapi masih memaksa dirinya berdiri, mengharap belas ihsan.
Di dalam kostum yang panas membara dan berbau peluh masin itu, siapa yang tahu apa yang sedang bergolak di dalam dadanya? Dia bukan badut profesional yang dipanggil menghibur majlis, bukan juga penghibur yang dibayar untuk menari dan menyanyi. Dia sekadar manusia yang telah membuat keputusan yang pahit dengan menukar maruahnya menjadi topeng, demi beberapa keping wang kertas yang mungkin cukup untuk membeli makan malam, mungkin tidak.
“Kasihan,” bisik seorang wanita berbaju kurung hijau, lalu memasukkan dua keping wang seringgit ke dalam bekas itu. Namun selepas itu, langkahnya segera menuju gerai air balang tiga liter yang mengilat-gilat memanggil dari hujung lorong.
Pada suatu malam, seorang remaja berhenti di hadapan lelaki berkostum itu, memandang lama dengan mata yang belum belajar membuang pandang.
“Abang kerja apa sebenarnya?”
Lelaki itu membuka sedikit bawah topengnya, cukup untuk meneguk air dari botol yang tersembunyi. Wajahnya, apa yang kelihatan daripadanya pucat seperti kertas yang lama tersimpan, matanya cekung ke dalam seperti perigi kering di musim panas panjang.
“Kerja macam inilah,” jawabnya pendek, suaranya serak.
“Tak takut kena tangkap? Ada akta yang larang mengemis di tempat awam.”
Dia tersenyum tawar, senyuman yang tidak sampai ke mata. “Akta tak kenyangkan perut.”
Remaja itu terdiam. Dia tahu memang ada undang-undang, ada peraturan yang digubal dengan tangan yang bersih di bilik yang berhawa dingin, kononnya untuk menjaga ketenteraman awam dan keindahan pemandangan kota. Tetapi di tengah bazar yang riuh dengan pembelian berlebihan, di tengah lautan plastik dan lemak dan gula yang mengalir bebas, siapa yang benar-benar peduli tentang satu tubuh kurus berkostum berdiri memohon simpati di sudut yang tidak diterangi cahaya?
Penguat kuasa pernah datang sekali-sekala, berjalan dengan wajah serius dan langkah berwibawa, mata memerhati, tangan mencatat dalam buku kecil berwarna hitam.
Namun setiap kali itu juga, lelaki berkostum itu menghilang di celah lorong antara gerai dengan menanggalkan topeng, menjadi manusia biasa yang menyamar sebagai pengunjung yang sedang menimbang-nimbang hendak membeli kuih cara atau tidak. Apabila keadaan reda, dia kembali ke tempatnya, menyarung semula wajah palsu itu.
(3)
Ramadan berlalu hari demi hari seperti air yang tidak mengenal penat. Lagu raya sudah berkumandang jauh sebelum puasa berakhir.
Perbualan di bazar bukan lagi tentang solat tarawih, pahala malam-malam yang sunyi atau tentang sabar yang perlu dipupuk. Perbualan telah lama beralih kepada warna tema raya tahun ini, kepada kuih moden yang tular di media sosial, kepada harga tiket kapal terbang yang naik.
“Kuih apa nak buat ini?”
“Tak buatlah. Beli saja lebih senang.”
“Rumah dah siap cat?”
“Dah tempah orang minggu lepas.”
Segala-galanya tentang raya. Puasa hanyalah jambatan pendek dan dijejaki dengan gopoh tanpa mahu berhenti, kerana di hujungnya sudah menunggu pesta yang lebih terang, lebih meriah.
Di sebuah rumah teres tidak jauh dari tebing sungai, seorang ibu berdiri di hadapan peti sejuk yang penuh sesak sampai pintunya sukar ditutup. Bekas lauk bertindih-tindih seperti bangunan yang tidak dirancang. Kuih masih berbungkus plastik, belum disentuh sejak semalam.
Anaknya membuka satu bekas, menjeling ke dalamnya dengan mata tidak berminat, lalu menutup kembali dengan bunyi yang senyap.
“Tak nak makan ni.”
“Semalam kamu yang pilih sendiri,” balas si ibu, dengan nada yang penat lebih daripada marah.
“Dah tak sedap.”
Malam itu, beberapa bekas masuk ke dalam tong sampah. Hati si ibu berbisik sesuatu yang tidak mampu diucapkan dengan kuat. Tangannya tetap membuang, kerana ruang di dalam peti sejuk perlu dikosongkan untuk esok.
(4)
Malam ke-27 Ramadan. Bazar paling sesak, paling bising. Manusia bergesel bahu, tangan-tangan meraih lemang dan rendang seperti meraih sesuatu yang hampir hilang. Harga naik sedikit, tetapi tiada siapa yang merungut kerana malam ini bukan malam untuk berjimat.
Di hujung bazar, tempat lelaki berkostum itu biasa berdiri, kini kosong. Kosong seperti bekas kecil yang selalu dibawanya.
“Mana beruang itu?” Tanya seorang kanak-kanak, matanya mencari-cari di antara kaki-kaki orang.
“Entah,” jawab bapanya sambil mengangkat plastik berat di tangan kanan. “Jalan.”
Di tepi sungai, jauh sedikit dari hiruk-pikuk bazar dan jauh dari cahaya lampu gerai yang berkelip-kelip, seorang lelaki terbaring di atas rumput lembab dengan embun awal malam. Kostumnya dibuka, diletakkan di sisinya.
Topengnya terjatuh, memperlihatkan wajah yang tidak pernah dilihat oleh sesiapa dengan cukup lama untuk dikenali. Wajah pucat seperti bulan yang sedang sakit, pipi cekung, mata separuh terbuka memandang langit gelap dan luas.
Bekas kecil di tangannya kosong. Tidak ada wang. Tidak ada sisa belas ihsan yang cukup untuk menangguhkan apa yang sudah tiba. Angin malam menyentuh tubuhnya yang kurus dengan lembut, seperti tangan seseorang yang datang terlambat untuk menolong tetapi masih mahu menyentuh. Beberapa orang lalu berhampiran, memandang sekilas.
“Orang mabuk agaknya.”
“Biarlah. Bukan urusan kita.” Tiada siapa berhenti.
Tiada siapa mengeluarkan telefon untuk membuat panggilan yang mungkin masih boleh mengubah sesuatu. Masing-masing sibuk dengan bungkusan di tangan, dengan fikiran tentang jalan balik yang sesak, dengan senarai terakhir yang perlu diselesaikan sebelum Syawal.
Keesokan harinya, berita kecil terselit di akhbar tempatan, diapit oleh iklan kereta dan promosi jualan raya berwarna-warni: seorang lelaki tidak dikenali ditemui tidak bernyawa berhampiran tebing sungai. Dipercayai gelandangan. Tiada waris tampil menuntut jenazah.
(5)
Apabila 1 Syawal menjelang, takbir bergema. Manusia berpakaian baru bersalam-salaman di masjid, air mata mengalir di pipi. Meja di ruang tamu penuh hidangan yang tidak terusik kerana perut sudah kenyang dari rumah jiran tadi. Anak-anak berlari dengan sampul hijau di genggaman. Raya memanjang dan majlis demi majlis, gambar demi gambar yang dimuat naik dengan kapsyen penuh syukur.
Di tapak bazar yang telah lama dikosongkan, hanya tinggal kesan minyak yang menggelap di atas jalan tar dan beberapa helai plastik yang terbang ditiup angin laut, menari-nari di atas permukaan sungai yang tenang. Tiada siapa bertanya mengapa begitu banyak makanan yang dibeli dengan begitu ghairah akhirnya berakhir di dalam tong sampah yang melimpah, di tapak pelupusan yang semakin membesar di pinggir kota yang tidak pernah tidur.
Ramadan datang sebagai bulan mendidik jiwa, bulan menahan dan merenungi. Tetapi manusia menjadikannya bulan melepaskan dan nafsu dibelai setiap petang, dibungkus dalam plastik, dihidang di atas meja, lalu dibuang tanpa rasa bersalah yang cukup berat untuk mengubah apa-apa.
Di Kuantan, kota pesisir itu, setiap tahun, cerita yang sama berulang. Bazar kembali. Manusia kembali.
Dan di suatu sudut akan berdiri semula seorang manusia berkostum. Menyembunyikan wajah sebenar di sebalik senyuman beku yang tidak pernah bertanya apa-apa. Berdiri di tengah lautan juadah berlebihan, menanti belas yang mungkin tidak akan tiba. Namun seperti tahun-tahun sebelumnya, tiada siapa yang benar-benar mahu berhenti dan melihat.
Kerana melihat bererti mengakui. Dan mengakui bererti bertanggungjawab. Dan bagi kebanyakan orang, raya jauh lebih penting daripada soalan-soalan yang berat itu. Maka raya terus memanjang, dalam diamnya yang berkilauan, jauh melebihi Ramadan yang sepatutnya tidak pernah berakhir di dalam diri. –UTUSAN










