SOSMA tumpuan Dewan Rakyat hari ini - Utusan Malaysia

SOSMA tumpuan Dewan Rakyat hari ini

parlimen
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat hari ini tertumpu kepada usul Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk membentangkan semula lanjutan penguatkuasaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang ditolak oleh majoriti ahli Parlimen, Mac lalu.

Menurut aturan urusan mesyuarat dan usul-usul Dewan Rakyat hari ini, usul tersebut berada di senarai kelima, namun tidak dapat dipastikan jika sempat dibentangkan kerana terdapat Rang Undang-Undang (RUU) berkait sistem insurans pekerjaan, keselamatan sosial suri rumah, mahkamah kehakiman dan kanun tatacara jenayah perlu dibaca untuk kali kedua.

Tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) SOSMA dihadkan kepada lima tahun sahaja bagi mewujudkan elemen semak dan imbang dalam penguatkuasaannya, bagaimanapun, ia boleh disemak dan dilanjutkan jika mendapat kelulusan Parlimen.

Baru-baru ini, KDN berjaya membatalkan keputusan Dewan Rakyat pada 23 Mac lalu, yang menolak usul melanjutkan tempoh pengutkuatkuasaannya supaya tempoh tahanan 28 hari dikekalkan selama lima tahun lagi mulai hujung bulan ini.

Sementara itu, bagi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang) akan meminta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyatakan cadangan meneruskan subsidi minyak masak tulen botol sehingga hujung tahun ini bagi mengurangkan beban rakyat.

Noorita Sual (PH-Tenom) pula meminta Kementerian Pembangunan Luar Bandar menyatakan kaedah-kaedah bagi memastikan setiap peruntukan pembangunan projek, program dan aktiviti tahunan yang diperuntukkan oleh kementerian di Sabah dapat digunakan sepenuhnya pada tahun semasa berkenaan.

Sabri Azit (PN-Jerai) pula meminta Kementerian Kesihatan menyatakan tindakan pemantauan yang telah dibuat bagi menangani doktor media sosial yang berleluasa melariskan jualan kosmetik hingga menyebabkan kesan sampingan kepada pengguna. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN