Sindiket seleweng diesel bersubsidi tumpas, dua ditahan - Utusan Malaysia

Sindiket seleweng diesel bersubsidi tumpas, dua ditahan

AHMAD Khuzairi Salamat menunjukkan lori tangki yang digunakan sindiket untuk memindahkan minyak diesel bersubsidi dalam serbuan di sebuah premis tidak bernombor di kawasan perindustrian Mahsan, Bahau, kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL: Satu lagi sindiket penyelewengan minyak diesel bersubsidi ditumpaskan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam serbuan di sebuah premis tidak bernombor di kawasan perindustrian Mahsan, Bahau di sini.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Daerah KPDNHEP Kuala Pilah, Ahmad Khuzairi Salamat berkata, serbuan pada pukul 6 petang, Isnin lalu dilakukan Pejabat KPDNHEP Cawangan Kuala Pilah dengan kerjasama Pasukan Gerakan Am (PGA), Briged Tengah Cheras.

“Serbuan ini turut membawa kepada penahanan dua lelaki tempatan berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun. Salah seorang daripada suspek mengalami kecederaan ketika cuba melarikan diri semasa serbuan dijalankan dan dirawat di Hospital Jempol,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Khuzairi berkata, pihak KPDNHEP Kuala Pilah menyita kira-kira 20,000 liter minyak diesel, lori, kereta, tangki diesel dan 10 unit tangki petak.

“Lain-lain peralatan yang digunakan untuk kerja-kerja pemindahan diesel seperti pam penyedut minyak diesel dan motor elektrik turut disita. Nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM106,400,” katanya.

Menurut Ahmad Khuzairi, hasil pemeriksaan lanjut mendapati premis dan suspek yang ditemukan di lokasi serbuan tidak mempunyai lesen sah atau apa-apa dokumen kebenaran daripada Pengawal Bekalan untuk berurusan dengan Barang Kawalan Berjadual.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Bekalan 1961 kerana menyimpan barang kawalan dengan niat melakukan kesalahan serta Seksyen 20 (1) akta sama kerana menyimpan barang kawalan ditempat yang tidak dilesenkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN