Sindiket edar dadah tumpas, 13.5kg ganja dirampas

Sindiket edar dadah tumpas, 13.5kg ganja dirampas

MOHD. Radzi Ahmad menunjukkan dadah yang dirampas daripada satu sindiket yang berjaya ditumpaskan polis dalam sidang akhbar di IPD SPU, Butterworth, Pulau Pinang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah dengan merampas sebanyak 13.5 kilogram ganja dalam dua serbuan berasingan di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Mohd. Radzi Ahmad berkata, dalam serbuan pertama yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, sepasang suami isteri berusia 44 dan 35 tahun ditahan di sebuah rumah sewa, di Sungai Dua pukul 10.30 pagi.

Katanya, dalam serbuan itu polis merampas lapan bungkusan ganja seberat 8.6 kilogram bernilai RM21,680.

“Ketika serbuan dibuat, kedua-dua suspek sedang berehat di rumah terbabit,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara (SPU), di sini hari ini.

Tambah beliau, berpandukan maklumat kedua-dua suspek, seorang lelaki berusia 44 tahun yang juga dalang sindiket ditahan di sebuah bengkel di Perai dekat sini, pukul 1.30 tengah hari pada hari sama.

“Dalam serbuan terbabit, lima bungkusan ganja seberat 4.8 kilogram  bernilai RM12,133 turut dirampas.

“Hasil risikan mendapati, sindiket ini telah bergiat aktif mengedar dadah sejak awal tahun ini untuk pasaran tempatan,” katanya.

Mohd. Radzi berkata, pihaknya turut menyita sejumlah barang kemas bernilai RM14,000 dan wang tunai sebanyak RM1,000 menjadikan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM48,813. 

“Hasil saringan air kencing mendapati suami kepada suspek wanita positif dadah dan kedua-duanya direman sehingga 5 Julai ini.

“Ketua sindiket yang turut memiliki rekod jenayah lampau direman sehingga 6 Julai,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya