KOTA BHARU: Taktik licik penyeludup menyimpan 671,000 batang rokok putih termasuk kretek tanpa cukai dalam sebuah van jenis Toyota Hiace di tepi lorong sebuah kampung di sini, terbongkar selepas diserbu Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDRM) Kelantan pada Rabu lalu.
Rampasan pukul 12.45 tengah hari itu dilakukan hasil maklumat risikan yang dilakukan oleh JKDRM Kelantan berkait dengan aktiviti penyeludupan.
Pengarah Kastam Kelantan, Mohd. Nasir Deraman berkata, modus operandi tersebut bertujuan mengaburi mata anggota penguat kuasa bagi mengelakkan daripada dicekup.
Menurutnya, hasil pemeriksaan yang dilakukan ke atas van itu JKDRM Kelantan menjumpai 82 peti rokok seludup termasuk kretek.
“Siasatan awal, kita tidak menolak kemungkinan rokok-rokok ini diseludup dan dijual untuk pasaran tempatan.
“Nilai keseluruhan rampasan rokok termasuk cukai dianggarkan berjumlah RM452,725 dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat JKDRM Kelantan di sini hari ini.
Mohd. Nasir memberitahu, sebanyak 11 juta batang rokok seludup pelbagai jenama sepanjang tempoh enam bulan tahun ini.
Katanya, nilai rampasan rokok seludup termasuk cukai dianggarkan berjumlah RM7.4 juta.
“Sepanjang tempoh itu, kita berjaya menahan dan mendakwa 22 individu yang terlibat menjalankan kegiatan penyeludupan rokok, ” ujarnya. –UTUSAN ONLINE










