Siap lebih sedekad, tapi tak berpenghuni - Utusan Malaysia

Siap lebih sedekad, tapi tak berpenghuni

KUARTERS guru yang terbiar kosong sejak lebih 10 tahun lalu di Taman Sri Lambak, Kluang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Walaupun sudah lebih 10 tahun dibina, namun kuarters guru di Taman Sri Lambak dekat sini terbiar kosong dan tidak pernah didiami.

Lebih menyedihkan, semua kelengkapan seperti kipas, lam­pu, paip air dan almari yang disediakan di dalam setiap rumah telah dirosakkan oleh individu tidak bertanggungjawab.

Penduduk Taman Sri Lambak, Rosman Ahmad, 53, men­dakwa, jika terus terbiar seperti itu, lebih baik kediaman tersebut dirobohkan dan kawasannya dijadikan sebagai tapak aktiviti atau program yang bermanfaat.

“Semua sedia maklum tujuan pembinaan rumah guru ini adalah untuk mengatasi masalah tempat tinggal kepada guru-guru yang tidak mempunyai kediaman di kawasan tempat mereka mengajar.

“Namun apabila sebahagian besar guru yang mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar T6, Sekolah Kebangsaan Bandar T6 dan Sekolah Rendah Agama Bandar T6 berasal dari kawasan sekitar Kluang, rumah guru ini tidak diperlukan oleh mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Menurut Rosman, isu kuarters terbiar itu bukan pertama kali disuarakan oleh penduduk.

Namun jelasnya, ia tidak menampakkan apa-apa tindakan yang dilakukan pihak berkaitan walaupun sudah beberapa kali aduan dimajukan.

“Isu rumah guru terbiar ini bukan hanya berlaku di Taman Sri Lambak ini, namun hampir semua daerah yang mempunyai kemudahan tersebut menghadapi isu sama.

“Justeru, dengan barisan kepimpinan negeri yang tergolong dalam kalangan orang muda, khususnya Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ), dapat mencari idea yang lebih baik supaya pembinaan kemudahan melibatkan kos jutaan ringgit itu tidak disia-siakan tanpa sebarang manfaat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN