Sentimen parti tempatan dorong Warisan-PH putus kerjasama

Sentimen parti tempatan dorong Warisan-PH putus kerjasama

AWANG AHMAD SAH SAHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Parti Warisan (Warisan) menjelaskan tindakan memutuskan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bukan kerana tidak suka dengan PH sebaliknya, ingin mengukuhkan kedudukan sebagai parti tempatan.

Ketua Penerangan Warisan, Datuk Awang Ahmad Sah Sahari berkata, sentimen menyokong parti tempatan semakin kuat maka, keputusan itu diambil bagi memudahkan Warisan bertanding di seluruh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan seluruh kawasan Parlimen di Sabah pada pilihan raya akan datang.

“Warisan mendapati bahawa rakyat mahukan parti-parti tempatan Sabah untuk memegang tampuk pemerintahan dan seterusnya mentadbir negeri ini.

“Malah, kita menjangka trend sokongan terhadap parti politik luar semakin berkurangan kerana rakyat Sabah sudah semakin bijak dan berani membuat keputusan untuk memastikan politik Sabah kekal stabil dan dikuasai oleh parti-parti politik tempatan yang berintegriti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru itu katanya, Warisan telah beberapa kali menawarkan diri untuk menjalin kerjasama dengan Parti Bersatu Sabah (PBS) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang bakal diadakan pada bila-bila masa.

“Sama-samalah kita nantikan sama ada PBS bersetuju atau tidak untuk bekerjasama dengan Warisan. Jika dilihat ramai pemimpin dan penyokong akar umbi PBS dan Warisan bersetuju dengan jajaran politik baharu ini,” katanya.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 2020, Barisan Nasional (BN) hanya menang 14 kerusi manakala, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) meraih 11 kerusi, menjadikan keseluruhan 25 kerusi DUN atau hanya kira-kira 1/3 daripada jumlah keseluruhan 73 kerusi DUN Sabah.

Semenatra itu, pada PRU 2018 pula, BN yang berkuasa sejak tahun 1994 hanya berjaya memenangi 27 kerusi daripada jumlah keseluruhan 60 kerusi DUN Sabah iaitu kurang daripada 50 peratus.

Ia termasuk kerusi yang dimenangi parti tempatan seperti Parti Bersatu Sabah (PBS), Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas itu, sentimen ini amat jelas bahawa kesedaran rakyat di Sabah untuk memilih parti tempatan semakin meningkat.

Mengulas lanjut katanya, pilihan raya akan datang bukan sekadar mahu berkuasa tetapi lebih kepada memperbetulkan hala tuju negara selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Perjuangan mengembalikan hak Sabah seperti yang termaktub dalam MA63 bukan mengenai soal perundangan semata-mata, namun usaha itu turut melibatkan kesedaran semua pihak.

Maka, kerajaan Sabah dan kerajaan Pusat mesti komited dan bersepakat untuk berusaha bersungguh- sungguh bagi memastikan MA63 dilaksanakan dengan segera. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN